HomeBerita'Jangan jadikan rakyat mangsa kegagalan agensi, buru kartel sampai habis'

‘Jangan jadikan rakyat mangsa kegagalan agensi, buru kartel sampai habis’

KUALA LUMPUR: Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. 

Kegembiraan rakyat tidak berpanjangan selepas diragut dengan pengumuman kerajaan mengumumkan tidak meneruskan kawalan harga siling ayam, telur ayam, dan subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol dua, tiga dan lima kilogram (kg), bermula 1 Julai ini. 

Ini kerana, rakyat menyifatkan, langkah memansuhkan kuota import (AP) bahan makanan pada 18 Mei lalu, sebagai tindakan berani kerajaan yang memberikan kelegaan khususnya kepada peniaga dan pengguna untuk mendapatkan bekalan makanan pada harga yang wajar.

“Apabila kerajaan mengumumkan pembatalan subsidi, secara tidak langsung ia bukan menghapus kartel, tetapi beri kekuatan pula untuk (mereka) teruskan aktiviti. 

“Kerajaan ada lancar perang terhadap kartel dengan memansuhkan AP, rakyat gembira. Ada keberanian daripada kerajaan terutamanya Perdana Menteri. 

“Tetapi pada hari ini, kita lihat alasan subsidi tidak beri manfaat kepada golongan sasar, ini bukan alasan. Sepatutnya, kena tanya siapa bermain isu dan siapa bertanggungjawab dengan dana subsidi yang dilihat gagal?,” kata Mohammad Pandu Insani Yahya. 

Pengerusi Pasar Borong Harian Selayang itu turut menempelak kerajaan hari ini seolah-olah tidak mampu menguruskan bantuan rakyat membabitkan isu makanan. 

“Hari ini cerita pasal ayam, telur minyak. Tak mustahil, esok beras, lusa air, elektrik meningkat,” katanya. 

Beliau berkata, untuk membanteras perkara tidak betul seperti kartel, rasuah pastinya ada orang yang tepat boleh membersihkan isu berkenaan daripada terus berlaku, namun jika tiada yang tampil berani, maka rakyat akhirnya terkesan.

Author

Pilihan Editor