KUALA LUMPUR: Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan atau dikenali Toqqi mempersoalkan apa relevannya memperuntukkan ratusan juta ringgit untuk membina bangunan baharu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam keadaan ‘darurat’ ekonomi ketika ini.
Beliau menerima banyak aduan orang ramai yang mengeluh melihat bagaimana pembinaan bangunan baharu 29 tingkat itu dikatakan menggunakan duit penyumbang zakat.
“Kos pembinaan tidak pernah didedahkan kepada umum dan Parlimen, ini menimbulkan persepsi awam kenapa perlu berbelanja banyak sedangkan ramai lagi golongan asnaf tidak dibantu sepenuhnya.
“Saya dengar bahan binaan sama seperti hotel enam bintang, buat apa bangunan cantik tetapi rakyat dihina sebab miskin, lihat bangsa lain sanggup susah untuk bantu anak bangsanya.
“Kerana mahu struktur bangunan yang unik, sanggup biarkan ruang pejabat lebih terhad berbanding bangunan kalau boleh muat 100 meja, ini muat mungkin 80 sahaja.
“Berapa nilai semua itu? Seingat saya Tabung Haji dahulu menelan RM400 juta kosnya menggunakan kontraktor yang memusuhi Islam,” katanya kepada MEDIA VARIASI di sini hari ini.
Tambah Toqqi, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan perlu kaji semula peruntukan yang digunakan dan dedahkan kepada umum nilainya.
“Manfaatkanlah duit zakat orang ramai untuk bantu perkasakan ummah bukan joli sana sini untuk nampak gah cantik sahaja.
“Kena ada audit tunjuk mana semua wang kutipan pergi, jangan ada lagi asnaf mengadu tak dibantu.
“Sepatutnya buat lagi program pemerkasaan seperti perbanyakkan lagi filem kebangkitan Melayu dan Islam seperti Mat Kilau ke ada juga faedahnya supaya orang sedar dan tidak lemah,” katanya.
Siasatan MEDIA VARIASI mendapati arkitek pembinaan bangunan ikonik Kuala Lumpur itu adalah arkitek FAA.