HomeMV+EksklusifBukan mudah jatuhkan hukum nusyuz

Bukan mudah jatuhkan hukum nusyuz

KUALA LUMPUR: Ramai menyangka mudahnya menjatuhkan hukum nusyuz terhadap isterinya.

Biasanya kita dengar dialog, “kau isteri derhaka, keluar rumah jatuh nusyuz.”

Bagaimanapun mengikut pengalaman Peguam Syarie, Muhammad Izhar Mohd Salehuddin sebenarnya bukan mudah mensabitkan seseorang itu nusyuz.

“Sabitan nusyuz biasanya perkara ini hanya boleh diputuskan oleh Hakim Syarie sahaja.

“Walaupun ada dakwaan perbuatan nusyuz sekalipun tetapi tidak dibawa hasil siasatan ke mahkamah, di hadapan hakim syarie maka ia belum disabitkan nusyuz.

“Melainkan satu kes difailkan oleh suami untuk mensabitkan isteri melakukan perkara-perkara yang boleh disabitkan nusyuz sehingga perbicaraan penuh diputuskan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Tambah beliau, jika mahkamah dan hakim syarie putuskan sabitnya nusyuz barulah boleh digunakan istilah nusyuz.

“Cuma apabila kes-kes tersebut difailkan barulah dinyatakan jika ada tuntutan itu, dari mana tempoh sehingga bila.

“Dan bergantung juga kepada pembuktian dan hakim syarie akan putuskan sama ada sabitan itu boleh disabitkan atau sebaliknya.

“Jika tiada bukti kukuh, mahkamah boleh tolak tuntutan sabitan itu,” katanya

Author

Pilihan Editor