HomeBeritaDenda terlalu tinggi, PRIMAS gesa timbang semula polisi GEG

Denda terlalu tinggi, PRIMAS gesa timbang semula polisi GEG

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) merayu kepada kerajaan agar mengkaji semula keputusan untuk melarang penjualan tembakau dan produk rokok pada masa hadapan yang akan memudaratkan perniagaan makanan di seluruh negara.

Kenyataan PRIMAS itu dibuat ekoran laporan berita baru-baru ini bahawa kerajaan telah meluluskan rang undang-undang tembakau oleh Kementerian Kesihatan, termasuklah melarang penjualan rokok dan produk vape kepada golongan yang lahir selepas 2007.

Presiden PRIMAS, J. Suresh berkata, persatuan itu percaya bahawa langkah-langkah drastik yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan akan memberi lebih kemudaratan daripada kebaikan kepada pengguna dan perniagaan yang sah seperti mereka.

Bukan sahaja ia akan menyebabkan peniaga kehilangan pendapatan, ia juga akan mengganggu operasi perniagaan mereka.

“Seperti yang diutarakan di media, pelaksanaan larangan merokok kepada generasi akan datang, akan memberi kesan yang mahal kepada ahli persatuan. Peruncit akan didenda sehingga RM30,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika ahli persatuan tidak mematuhi undang-undang.

“Kami tidak menggalakkan merokok, tetapi polisi ini memberi cabaran kepada kami. Kami diminta untuk melakukan pemeriksaan sama ada seseorang itu lahir selepas 2007 melalui MyKad pada masa akan datang, yang akan menambah kerumitan kepada perniagaan kami.
Selain itu, jualan produk adalah sumber pendapatan tambahan kami dan ia akan terkesan di masa hadapan,” katanya.

Menurut Suresh, pemilik restoran pada masa ini menghadapi kesusahan berikutan pandemik, kenaikan harga barang dan kekurangan pekerja.

“Kami masih lagi bergelut menghadapi isu-isu ini, dan peraturan dan undang-undang sebegini akan memberi kesan kepada pendapatan, meningkatkan kos operasi dan mewujudkan kerumitan tambahan yang akan memburukkan lagi keadaan,” ujarnya.

Suresh juga menambah bahawa kerajaan perlu membuktikan bahawa polisi ini akan berjaya.

“Adakah kerajaan yakin bahawa kaedah tambahan ini dapat menghentikan orang ramai daripada merokok, ataupun ia hanyalah satu lagi undang-undang yang tidak akan dikuatkuasakan dengan baik ataupun menambah kekeliruan kepada semua pihak?” soalnya.

Suresh menjelaskan bahawa isu rokok seludup perlu diselesaikan sekiranya kerajaan mahu menghentikan tabiat merokok.

“Pasaran seludup mempunyai kawalan sebanyak 60 peratus ke atas pasaran keseluruhannya dan polisi baharu ini tidak langsung menangani situasi ini.

“Malah, larangan ini akan hanya menjadikan semua produk yang dijual di pasaran akan menjadi haram di masa hadapan apabila tidak ada syarikat sah yang menjual produk ini di Malaysia,” katanya.

PRIMAS sebaliknya menggesa kerajaan untuk memberi tumpuan kepada melawan perdagangan rokok seludup yang menyebabkan negara kehilangan RM5 bilion pendapatan cukai setiap tahun dan memudaratkan perokok berikutan kandungan yang tidak dikawal.

“Kerajaan Malaysia perlu mengambil kira kesemua perkara ini sebelum membuat apa-apa keputusan. Bukan semua polisi akan berkesan dan ini bukanlah masanya untuk memberi risiko kepada industri makanan dan minuman,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor