HomeBeritaFestival Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Panasonic berlangsung aman

Festival Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Panasonic berlangsung aman

SHAH ALAM: Festival Bon Odori yang mendapat bantahan daripada seorang pemimpin kerajaan daripada PAS sebelum ini tidak menghalang orang ramai termasuk umat Islam berkunjung ke penganjuran berkenaan bertempat di Kompleks Sukan Negara Panasonic, di sini petang ini.

Ribuan lapisan masyarakat hadir ke Festival Tarian ‘Bon Odori’ ke-46, 2022 itu, seawal jam 4 petang lagi, yang rata-rata mereka menyarung pakaian tradisional Jepun bagi lelaki dan perempuan, selain berbaju kurung bagi wanita tempatan.

Turut serta ke festival, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.

Pelbagai gerai makanan dan minuman tradisi Jepun turut disediakan di sini.

Program bermula dengan persembahan dram sebagai pembukaan diikuti ‘Wadaiko’ Japanese, tarian Bon Odori Bahagian 1,2 dan 3, bermula jam 7 petang ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, pada 6 Jun lalu menimbulkan kontroversi susulan nasihatnya supaya umat Islam tidak menyertai Festival Bon Odori yang akan berlangsung pada 16 Julai 2022 kerana didakwa mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, kemudian mencadangkan agar Idris supaya hadir ke program berkenaan.

Bagaimanapun, sosok tubuh pemimpin PAS itu tidak kelihatan malah dipercayai tiada pegawai daripada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIS) ditempatkan di program itu.

Pada pemerhatian penulis sepanjang berlangsungnya acara itu tiada satu pun umat Islam yang menyertai mana-mana acara tarian, mereka hanya bertanya khabar rakan-rakan dari Jepun sahaja.

 

Author

Pilihan Editor