CYBERJAYA : Selagi hayat dikandung badan, selagi masih bernafas dan roh dalam jasad, berjuanglah.
Di sebalik wajah ceria Janna Nick atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, dan sentiasa ‘happy go lucky’, tidak ramai yang peduli tentang di sebalik liku kehidupannya membesar.
Pembabitan awal dalam bidang seni pada 2012 , dipercayai sedikit sebanyak membantu dirinya untuk melupakan sekejap masalah dengan menjadi seorang periang dan ekstrovert.
Malah, ramai yang masih belum menyedari pelakon drama Misteri Mona itu menghidap bipolar, gangguan mental meskipun dia pernah mendedahkan perkara itu.
Gangguan mental dialaminya juga hampir mendorong untuk meragut nyawa sebanyak dua kali pada usia 14 dan 15 tahun.
Keadaan itu turut memaksa dirinya untuk mendapatkan rawatan kesihatan mental dan mengambil ubat anti-kemurungan.
Pengguna Twitter baru-baru ini berkongsi temu bual bersama Janna, menceritakan tentang kehidupan ‘broken family’ yang dilaluinya.
Janna dalam perkongsiannya itu, berkata ibu bapanya bercerai ketika dia Darjah Tiga, namun memilih mahu tinggal bersama neneknya.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana merasakan ia yang terbaik.
Justeru itu juga, dia memaksa dirinya menjadi ekstrovert kerana mahu menghiburkan diri sendiri supaya tidak berasa sunyi.
“Saya banyak membesar dengan kawan-kawan. Kadang-kadang orang nampak sisi saya yang ekstrovert. Tapi sebenarnya saya terpaksa jadi ekstrovert sebab saya rasa saya kena hiburkan diri saya,” katanya.
“Kalau saya balik pukul 4 pagi pun, mak saya tanya dekat mana je, mak saya akan biar je. Tapi bukan sebab mak saya tak bertanggungjawab, tapi mak saya percaya dengan saya. Itu yang menjadikan saya hari ini,” katanya dipetik Rotikaya.
Janna berkata, sejak kecil lagi dia sudah membuat keputusan sendiri dan tidak mendapat bimbingan daripada sesiapa.