HomeGaya HidupJumpa di tepi 'highway', kini musang pandan dekat di hati

Jumpa di tepi ‘highway’, kini musang pandan dekat di hati

ULU YAM : Isu penebangan hutan bukan baharu dalam negara, namun ia dilihat semakin rancak saban masa.

Umum mengetahui, hutan adalah habitat haiwan, dan sudah tentunya jika hutan tiada, hilanglah habitat mereka maka rosaklah ekosistem perhutanan.

Mangsa pertama terkesan semestinya haiwan, termasuk musang pulut (spesies Common Palm Civet) atau lebih dikenali sebagai musang pandan dari keluarga Viverridae.

Meskipun ia sejenis binatang liar, tetapi dikategorikan agak jinak, ia boleh dijumpai sekitar kawasan kebun kelapa sawit, belukar atau di kampung.

Begitu juga pemilik haiwan eksotik itu, Muhamad Amirul Azaha, 26, turut menemui tiga ekor musang pandan di tepi lebuh raya.

Tertarik dengan kecomelan mamalia omnivor berkenaan, pendaki gunung itu sanggup memelihara mereka yang kini diberi nama masing-masing, Miki, Cupi dan Rainbow berusia lingkungan empat hingga lapan bulan.

Katanya, musang pandan dipeliharanya kini tidak buas, malah sentiasa mahu di sisi bahunya walau ke mana sahaja berada.

“Musang adalah haiwan yang setia pada tuan oleh sebab itu ambil masa untuk menjinakkannya.

“Karakter musang pandan sangat aktif pada waktu malam, suka memanjat, suka bergerak, menggigit manja, tapi tidur waktu siang,” katanya.

Dia ditemui MEDIA VARIASI ketika berkelah bersama keluarga di hutan Rimba Kalong Eko Resort di sini, baru-baru ini.

Muhamad Amirul berkata, dia sentiasa menjaga pemakanan haiwan kesayangannya ke mana sahaja itu dengan memberi buah-buahan dan ayam rebus yang dicampur bersama telur goreng.

“Jika nak bela musang pandan, pastikan sentiasa beri buah-buahan selain ayam rebus. Ada juga antara bedal semua makanan,” katanya yang memiliki lesen membela haiwan itu.

Haiwan kecil ini mempunyai bulu tebal berwarna kelabu coklat dengan dimuka ada bulu berwarna kehitaman.

Ia juga adalah haiwan yang licik, malah dikatakan juga haiwan pengecut.

Di negara ini, hanya musang pandan dibenarkan dipelihara dengan syarat perlu memiliki lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

Aktiviti jual beli juga tidak dibenarkan, dan pemilik haiwan perlu memohon lesen memburu, memasukkan mikrocip ke dalam badan (musang) dan lesen membela haiwan ini.

Penulis tertanya-tanya, adakah nama diberi musang pandan kerana badan haiwan itu mempunyai aroma wangi tersendiri?

Dalam peribahasa Melayu pula terdapat satu peribahasa popular iaitu musang berbulu ayam yang memberi makna orang jahat yang berpura-pura baik untuk menutupi kejahatannya.

Terdapat juga satu filem Melayu terdahulu seperti Musang Berjanggut, diterbitkan bentuk hitam putih pada 1 Ogos 1959, dibintangi P Ramlee, Saadiah, Ahmad Nesfu dan lain-lain.

Author

Pilihan Editor