HomeGaya HidupKebun Che Mah pusat agropelancongan yang wajib dikunjungi

Kebun Che Mah pusat agropelancongan yang wajib dikunjungi

KEMENSAH: Kebun Che Mah yang terletak di atas banjaran kuarza terpanjang dunia sedang mengukir namanya sebagai pusat agropelancongan yang wajib dikunjungi.

Agropelancongan adalah aktiviti melancong ke kawasan pertanian atau penternakan yang memberi peluang kepada pengunjung untuk turut serta aktiviti pengusaha seperti berkebun dan sebagainya.

Di Kebun Che Mah turut menawarkan kenderaan lasak ATV, kafe dan kemudahan penginapan agar pengunjung atau ‘hikers’ boleh berehat sebelum meneruskan penjelajahan kawasan atau meneruskan pendakian ke puncak Bukit Tabur.

Walaupun perjalanan 900 meter dari bawah ke lokasi hentian Kebun Che Mah agak mencabar dan terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda namun ia amat berbaloi setibanya di puncak.

Dengan pemandangan hijau dan nyaman sekelilingnya pasti kita dapat melupakan sejenak masalah, kesibukan urusan duniawi yang tidak putus.

Ia membawa kita ke zon berbeza dari realiti, ditambah hidangan durian Musang King dan D24 pasti terlintas di hati adakah kita sudah tiba di pintu syurga?

Selain berlibur, lokasi ini juga dapat mendidik pengunjung dengan ilmu agro seperti penanaman durian, kepentingan kuarza dan mempelajari warisan dan budaya Orang Asli yang tinggal berhampiran.

Kali ini Kebun Che Mah menerima kunjungan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua UMNO Bahagian Gombak Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin.

Ahmad Maslan turut meluahkan rasa teruja melihat bagaimana Kebun Che Mah masih memelihara alam sekitar dengan baik dan wajar dijadikan contoh pusat pelancongan lain dalam keadaan lokasi itu semakin menjadi tumpuan umum.

Beliau turut berharap prasarana utama seperti jalan untuk naik ke hentian ini ditambah baik agar lebih ramai lagi boleh datang dan nikmati panorama di sini.

Pemilik Kebun Che Mah, N Hikmah A Khalid memberitahu tidak pernah menyangka kebunnya yang asalnya hutan rimba kini menjadi destinasi pelancongan keluarga dan pendaki.

Peguam hartanah itu percaya jika kita berbuat baik kepada alam, pastinya alam membuka segala rahsia keindahan Sang Pencipta kepada kita.

Ikuti kisah seterusnya Kebun Che Mah di MEDIA VARIASI.

Author

Pilihan Editor