HomeHiburanKesaktian Melayu dalam muzikal Moyang Salleh

Kesaktian Melayu dalam muzikal Moyang Salleh

KUALA LUMPUR: Melayu zaman dahulu terkenal di seluruh dunia kerana kehebatan mereka.
Daripada penciptaan kapal, perahu, peleburan besi, keris, gobek api dikatakan yang pertama dihasilkan adalah buatan Melayu.
Apa yang menjadikan mereka hebat? Kerana daulat atau erti kata lain kesaktian.
Pementasan teater Muzikal Moyang Salleh yang bermula pada 26 Ogos dan berakhir pada 31 Ogos dari 8.45 malam hingga 10.30 malam di Istana Budaya bakal mempertontonkan kesaktian Melayu.
Menurut Pengarahnya, Roslee Mansor aspek kekaguman yang akan membuatkan penonton terpesona seperti Moyang Salleh boleh berjalan di atas air dan boleh berada di tempat-tempat berbeza dengan sekelip mata.
“Tidak menggunakan teknologi hologram, tetapi penonton diyakini akan teruja melihatnya nanti.
“Penceritaan kesaktian Melayu ini dikumpul daripada pelbagai sumber, sejauh mana kebenarannya hanya mereka yang berada di zaman itu yang tahu,” katanya pada sidang media di Mini Auditorium Pusat Pelancongan Jalan Ampang.

Teater muzikal arahan Roslee Mansor dan terbitan Siti Salbiah Zahari itu dibintangi barisan pelakon terkemuka tanah air seperti Datuk Ahmad Tarmimi Siregar sebagai Moyang Salleh serta Khir Rahman sebagai Sultan Abdul Jalil Muazam Shah.

Along Eyzendy sebagai Si Amat, Eliza Mustapa sebagai Moyang Timah dan Hairi Safwan sebagai Dato Bendahara serta Pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Motion Horse International Filem Festival (MHIFF), Mubarak Majid memegang watak sebagai Datuk Temenggung.

Antara muka baharu dalam muzikal ini adalah Melisa Kelvin sebagai Seri Banun dan Nen Tebabo dari Radio Negeri Sembilan.
Teater ini diterbitkan oleh Karyawan Negeri Sembilan dengan kerjasama Badan Kebajikan Ahsan Undang Luak Jelebu dan dinaungi oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan menampilkan lebih 150 tenaga produksi termasuk pelakon, penari, pemuzik dan tenaga produksi.
Pementasan muzikal berdasarkan lagenda figura seorang pemimpin Melayu yang bernama Moyang Salleh dari daerah Jelebu yang mengisahkan tentang perjuangan, pengorbanan, seni dan budaya masyarakat Melayu Negeri Sembilan.
Muzikal Moyang Salleh akan menampilkan kelainan dari segi seni persembahan dan teknikal serta keunikan apabila menggunakan sepenuhnya dialek atau loghat Negeri Sembilan sebagai bahasa petuturan.
Tiket bagi menonton Muzikal Moyang Salleh ini boleh dibeli menerusi ilassoticket.com atau  hubungi 012-275 5981(Urusetia), 014-636 4636 (Suhairi), 017-375 2739 (Adibah) dan 017-644 6120 (Firdaus) untuk pertanyaan pembelian tiket.

Author

Pilihan Editor