HomeMV+PendapatLarangan ke Bon Odori sebab politik bukan agama

Larangan ke Bon Odori sebab politik bukan agama

DALAM 50,000 pengunjung yang hadir, rakyat tercari-cari di mana pemantau agama sepanjang Festival Tarian Bon Odori 2022 Ke-46, di Kompleks Sukan Negara, Panasonic, Shah Alam, pada 16 Julai, hujung minggu lalu.

Sedangkan sebelum itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menjemput Menteri Agama, Idris Ahmad dan ulama-ulama PAS turun padang melihat sendiri perjalanan festival itu.

Malah, penguatkuasa agama, pegawai atasan agama, pakar agama kelibat mereka tidak kelihatan sepanjang festival itu.

Tiada wakil daripada Menteri Agama untuk turun melihat, menilai sendiri, sejauh mana tohmahan sebelum ini diperkatakan festival berbentuk keagamaan.

Persoalannya adakah mereka masih meneruskan sikap lama hukum dahulu sesuatu yang mereka tidak lihat, tidak bertemu pun atau soal siasat terlebih.

Segalanya hanya bersumberkan internet atau kita katakan “arm chair decision” (duduk atas kerusi sahaja dah buat keputusan).

Adakah ini amanah makan gaji dengan kerajaan negeri atau persekutuan?

Halalkah imbuhan yang diperolehi dalam perkhidmatan sekiranya wang elaun kenderaan, sumber manusia tidak digunakan ke arah melakukan pekerjaan yang diarahkan?

Perkara ini menafikan hak pihak tertuduh memberikan pembelaan kepada pihak berkuasa Islam.

Malah, dalam tatacara syariah perlu ada pakar dalam bidang untuk hadir menyiasat sendiri, dan jika ada perlanggaran syariat, beri teguran kesalahan terlebih dahulu bukannya terus meletakkan kesalahan kepada pihak tertuduh.

Sikap cepat menghukum dan mengecilkan ruang pembelaan kepada pihak tertuduh hanya akan menyebabkan Islam itu dipandang serong.

Anehnya pihak berkenaan tidak pula rancak menegur apabila tokoh agamawan mereka masuk kuil dan memakai kalungan bunga kerana menghadiri majlis agama lain.

Tiada pula yang menegur apabila pemimpin agama masuk panggung wayang yang selama ini mereka haramkan untuk menonton filem Mat Kilau.

Adakah jika perbuatan itu dilakukan mereka ia ‘halal’, tetapi jika perbuatan sama dilakukan orang bukan sealiran terus dicop ‘liberal’, ‘haram’ dan sebagainya.

Islam mementingkan prinsip keadilan, Nabi Ibrahim menunjukkan contoh yang baik bagaimana Baginda turun padang untuk menyaksikan sendiri bagaimana perbuatan penyembahan selain kepada Allah berlaku.

Baginda tidak menghukum penyembah berhala, tidak memenjarakan mereka sebaliknya bertindak menghapuskan patung-patung yang dianggap tuhan kepada golongan itu.

Berbalik kepada festival Bon Odori, pemerhatian penulis sepanjang berlangsungnya acara pentas oleh penganjur, di sekitarnya ada gerai-gerai makanan, tiada masyarakat Melayu atas pentas tetapi suasana harmoni jelas kelihatan sepanjang acara berkenaan.

Orang tempatan mengunjungi gerai makanan, gerai alat permainan tradisional Jepun, gerai kraftangan dan pakaian tradisional Jepun.

Jadi apa yang kecoh sangat kecuali hanya sebab politik, sebab KPI, nak naik pangkat cepat dan lebih mudah menghukum daripada menilai sebab menilai perlu proses yang panjang?

Author

Pilihan Editor