HomeHiburanMisteri sekumpulan bangsawan Melayu di KLCC terungkai

Misteri sekumpulan bangsawan Melayu di KLCC terungkai

KUALA LUMPUR: Sekumpulan bangsawan Melayu kemungkinan dari abad ke-15 kelihatan berjalan-jalan di sekitar segitiga emas  termasuk sekitar KLCC, Pavillion, Bukit Bintang dan sekitarnya.

Mereka bersilat, mempamerkan keris, bertanjak, berbaju kurung dilengkapi aksesori pakaian kemuliaan Melayu di tengah-tengah masyarakat urban.

Respons orang ramai ada yang ketawa, ada yang terkejut, ada yang tertanya dari mana gerangan mereka, kini terjawab.

Mereka adalah gimik daripada Muzikal Lawak Superstar musim ke-3 yang bakal menemui penonton pada 22 Julai kelak.

Pengurus saluran Astro Warna, Idlan Zahari berkata, gabungan muka baharu yang bukan berlatar industri hiburan digandingkan dengan selebriti otai dan senior adalah keunikan yang dibawa untuk musim ketiga Muzikal Lawak Superstar kali ini.

Pemilihan muka baharu ini adalah usaha Astro Warna dalam menarik golongan muda ke saluran mereka.

“Demografik ini amat penting dalam mengembangkan sasaran penonton di Astro terutamanya untuk genre komedi atau sketsa komedi secara khususnya.

“Musim ini memperkenalkan muka baharu seperti Aya Amiruddin, Puspa Gomen, Qody Rani, Shidi Data dan DD Chronicle.

“Kehadiran Sarip dan Amin dari Indonesia serta Kinjo dari Jepun mewarnai lagi musim kali ini selain barisan artis tempatan Roy Azman, Ali Puteh, Achey dan Shiha Zikir.

“Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom sebagai hos Muzikal Lawak Superstar akan bergandingan dengan hos baharu yang akan diperkenalkan nanti,” katanya pada sidang media di Kraftangan Jalan Conlay pada Rabu.

Barisan juri diketuai Datuk Awie didampingi muka baharu termasuk pelakon dan model tersohor, Siti Saleha dan Najib Ali. Shah Nizam atau Shah Slam bertindak sebagai Pengarah Muzik.

Juara akan membawa pulang wang tunai RM150,000, naib juara RM75,000 manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing RM50,000 dan RM25,000.

Muzikal ini akan berlangsung selama 10 minggu dan bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra Bukit Jalil mulai 22 Julai, setiap Jumaat jam 9 malam di Astro Warna.

Author

Pilihan Editor