GOMBAK: Pertubuhan mengangkat Melayu, Armada Malaiu Malaysia mengesyorkan pemakaian tanjak dibenarkan dalam kad pengenalan sebagai identiti jati diri bangsa dalam usaha memartabatkan Melayu Nusantara.
Cadangan itu bukan sahaja bagi memberi ruang kepada bangsa Melayu memperkenalkan identiti diri melalui pemakaian kemuliaan Melayu, malah sebagai orang asal tanah air.
Malah, orang Melayu ketika ini sudah mula bangkit selepas filem sensasi, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menjadi fenomena negara.
Setiausaha Agung Armada Malaiu Malaysia, Sahidan Sahid berkata, orang Melayu sepatutnya dibenarkan memakai tanjak dan boleh mempamerkan identiti bangsa di dalam kad pengenalan sama seperti bangsa lain dalam negara.
“Kenapa adat kita dipinggirkan? Kita Islam bersendikan adat, adat berpaksikan syariat. Kalau serban dibenar pakai oleh sesuatu kaum di dalam kad pengenalan, kenapa tanjak tidak?
“Kita di Nusantara, serban bukan pakaian kita sebenarnya. Kita cerita kenyataannya,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Beliau berkata demikian selepas sidang media prapelancaran Hari Peradaban Melayu oleh Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di pejabat PEMBELA, Taman Melawati, di sini.
Justeru, Sahidan mencadangkan kepada kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN), dapat mengkaji dan mempertimbang semula cadangan pemakaian tanjak dalam kad pengenalan.
Dalam perkembangan sama, Sahidan turut mencadangkan supaya keris diisytihar sebagai aksesori, warisan dan identiti, kerana mendakwa ia bukan sebagai senjata.
Katanya, keris juga adalah pemakaian orang Melayu, yang boleh melambangkan sebagai kad pengenalan.
“Keris itu adalah semangat orang Melayu. Senjata ini perlu diasah, tetapi keris hanya dirawat, bukan diasah. Keris juga umpama kad pengenalan, daripada keris kita boleh kenal kedudukan individu, melalui keris berlok,” katanya.