KUALA LUMPUR: Semua spektrum 5G yang dikenal pasti iaitu jalur 700MHz, 3.5GHz dan 28GHz telah diagihkan sepenuhnya kepada Digital Nasional Berhad (DNB) bagi penyediaan perkhidmatan 5G di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Beliau berkata ia selaras dengan keputusan kerajaan mengenai pelaksanaan rangkaian dan infrastruktur 5G negara oleh DNB sebagai pengendali Rangkaian Borong Tunggal (SWN).
“Pelaksanaan pembangunan rangkaian 5G di Sarawak telah bermula pada suku kedua 2022.
“Pihak DNB sedang bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri Sarawak dan agensi-agensi yang berkaitan bagi memastikan pembangunan rangkaian 5G berjalan lancar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan menawarkan spektrum 5G khusus bagi kerajaan Sarawak bagi mengendalikan perkhidmatan 5G di negeri itu.
Bagi tahun ini, Zahidi berkata sebanyak 339 tapak 5G dirancang dibangunkan iaitu 227 tapak di Kuching dan 112 tapak di Miri dengan 17 tapak telah siap dibangunkan di Kuching sehingga 11 Julai lepas. – BERNAMA