CYBERJAYA: Kerajaan perlu melihat semula keperluan alat ganti import sekiranya mahu menyelesaikan isu pengubahsuaian kenderaan khususnya motosikal dalam kalangan anak muda.
Ini kerana, anak muda sering menjadi sasaran tindakan undang-undang, tetapi seolah menutup sebelah mata terhadap pembekal alat ganti import.
Ketua Aktivis Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM), Kamaruddin Mohd Hussain, keliru mengapa rakyat bawahan khususnya anak muda dijadikan mangsa keadaan tindakan undang-undang seperti tidak wajar dalam isu berkenaan.
Justeru, beliau terpanggil untuk memberi kenyataan mengenai isu pengubahsuaian kenderaan motosikal.
“Kenapa hanya pemilik kenderaan khususnya anak muda sahaja yang dikenakan tindakan undang-undang kerana mengubah suai kenderaan motosikal mereka sedangkan pembekal dibebaskan begitu sahaja?.
“Pemilik kenderaan motosikal ini tidak mungkin dapat mengubah suai kenderaan mereka jika kerajaan tidak membenarkan pihak taikun membawa masuk alat ganti tersebut ke dalam negara,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan di sini.
Justeru katanya, jika benar kerajaan ingin menyelesaikan isu berkenaan, adalah lebih baik mengharamkan kemasukan alat ganti pengubah suaian daripada menzalimi rakyat sendiri.
“Jangan hanya tahu menghukum, tetapi dalam masa yang sama kerajaan yang bertanggungjawab membenarkan alat ganti pengubahsuaian dibawa masuk ke dalam negara untuk dijual kepada rakyat,” katanya.