HomeBerita210kg makanan berasaskan babi dirampas di Sarawak

210kg makanan berasaskan babi dirampas di Sarawak

 

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Penyeludupan makanan berasaskan babi masih berlaku sehingga Mei lalu sebanyak 210 kilogram dirampas semasa tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuching, Sarawak.

Perkara didedahkan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom ekoran kegiatan berkenaan masih berjalan ketika Kerajaan Sarawak menguatkuasakan larangan import produk babi dan berasaskan babi dari kawasan terjangkit penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di bawah Seksyen 9 (1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

“Namun produk makanan berasaskan babi seperti ‘stew pork’ dalam tin dibenarkan masuk dengan syarat konsainmen berkenaan diwajibkan melalui ujian Hold-Test-Release bagi menjamin produk yang diimport adalah bebas dari pencemaran virus ASF,” katanya semalam.

Rundi memberitahu dua konsainmen telah ditolak kerana dikesan positif pencemaran virus ASF oleh ujian makmal setakat Ogos 2022.

Menurut beliau pemantauan berterusan ke atas aktiviti penyembelihan di rumah penyembelihan tidak berdaftar telah dilakukan.

“Bagi mengekang penularan wabak ASF dari satu bahagian ke bahagian yang lain, seksyen 36 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 telah digunapakai dengan kawalan pergerakan ternakan diperkenalkan.

“Prosedur Uji dan Sembelih telah dilaksanakan dengan hanya membenarkan ladang ternakan babi yang berdaftar serta mempunyai permit pergerakan untuk menghantar babi ke rumah sembelih untuk diuji dan ditanda sebelum disembelih untuk dijual,” jelasnya lagi.

Setakat Ogos ini juga katanya empat kompaun telah dikeluarkan ke atas kesalahan-kesalahan di bawah seksyen 60 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 kerana menyembelih babi di rumah sembelih yang tidak berlesen.

Dalam perkembangan sama Rundi mendedahkan wabak ASF pernah menular di Daerah Lawas, Bahagian Limbang sekitar Julai 2021 ekoran daripada aktiviti pemburuan babi hutan di sempadan Sarawak–Kalimantan.

“Sehingga ke hari ini, kes ASF telah dilaporkan berlaku di beberapa Bahagian di Sarawak iaitu dari kandang belakang rumah di kampung, rumah panjang dan juga ladang komersial,” katanya.

Menurut beliau aktiviti memburu babi hutan berdekatan sempadan dan biosekuriti ladang penternak yang lemah adalah punca utama berlakunya penularan wabak itu.

Author

Pilihan Editor