HomeBeritaAneh draf kehakiman ada sebelum perbicaraan tamat - Hamidah

Aneh draf kehakiman ada sebelum perbicaraan tamat – Hamidah

KUALA LUMPUR: Bekas ADUN Sungai Rapat, Perak, Datuk Hamidah Osman meluahkan rasa hairan bagaimana draf kehakiman terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah siap awal sebelum pun perbicaraan tamat.

Jelas beliau, draf itu telah diakui oleh pendaftar mahkamah.

Beliau yang berada di mahkamah ketika perbicaraan ke atas Najib berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd, memerhati dengan pelbagai persoalan berhubung pengurusan dan cara kehakiman yang dilaksanakan terutamanya apakah fungsi Tun Tengku Maimun Tuan Mat mempengerusikan panel lima hakim mendengar kes sedangkan keputusan telah tertulis.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku semalam. Semalam adalah proses perbicaraan rayuan yang mana sebelum ini Najib diberi tempoh sehingga 26 haribulan untuk membela diri dan semalam beliau mengemuka ke mahkamah memohon Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang merupakan Pengerusi Panel Hakim menarik diri kerana didapati ada ‘conflict of interest’.

“Ini berikutan dengan tindakan suami Tengku Maimun yang sebelum ini jelas anti Najib, bersorak gembira ketika Najib jatuh yang bermakna sentimen sudah ada sebelum proses keadilan berjalan.

“Namun, rayuan Najib itu ditolak dan kenapa Ketua Hakim dilihat begitu tergesa-gesa hendak jatuhkan hukuman hari itu juga seolah dikejar sesuatu.

“Sedangkan kita sedia maklum ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan keputusan perbicaraan ambil masa beberapa bulan baru keputusan dikeluarkan.

“Hari itu bukan hari keputusan ianya hari perbicaraan lagi kenapa tergesa-gesa dibuat keputusan bertulis sudahpun tertulis? Saya tidak faham,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Hamidah turut bertanya, kenapa Mahkamah Persekutuan tergesa-gesa sangat membuat keputusan sehinggakan perbicaraan masih berjalan lagi tetapi kertas penghakiman sudah tersedia dan viral dalam media sosial.

“Orang yang dituduh wajar diberi ruang dan peluang yang secukupnya untuk merayu. Sebelum tamat setiap perbicaraan orang yang dituduh dibolehkan untuk menbuat rayuan peribadi dan sepatutnya tunggulah segala proses perbicaraan selesai sebelum lima hakim membuat keputusan.

“Hukuman ke atas Datuk Seri Najib adalah berat, jadi berilah sehabis ruang untuk dia bela diri kenapa nak tutup ruang itu.

“Malahan, bagi mana-mana kes lain, peluang untuk mitigasi hukuman akan diberi, didengari sebelum hukuman dipertimbangkan. Namun untuk Datuk Seri Najib hanya dinafikan.

“Kesannya, ia mencalar integriti kehakiman negara yang sekarang ditonton satu dunia dan bukan mudah untuk kembalikan kedaulatan undang-undang jika begini caranya,” katanya.

Pilihan Editor