KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) disyorkan untuk menambah baik Laporan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF).
Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) mengesyorkan beberapa cadangan yang boleh pihak KKM pertimbangkan.
Ia susulan ARMADA meneliti laporan berkenaan bersama pengamal perubatan dan mendapati ada yang tidak dilaporkan berhubung persoalan sama ada buli berlaku kepada pegawai perubatan siswazah (PPS) atau doktor pelatih.
Ketua Penerangan ARMADA, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata laporan itu juga tidak menjelaskan secara jelas langkah yang diambil untuk menyelesaikan isu buli.
“Kami dapati tiada apa-apa dalam
laporan mengenai potensi tindakan atau hukuman yang akan dijatuhkan kepada pembuli.
“Ini menyebabkan mangsa berasa kurang yakin untuk melapor sebarang kes buli kerana merasakan tiada apa yang berlaku kepada pembuli,” katanya pada satu sidang media, Ampang, di sini.
Justeru, pihaknya mencadangkan pembentukan petugas yang lebih kecil bagi memperhalusi laporan.
Selain itu, membentuk pasukan pengawasan di setiap jabatan hospital KKM untuk memerhati dan melaporkan sesiapa sahaja yang menjadi seorang pembuli.
“Cadangan lain adalah menghasilkan kriteria jelas untuk buli di tempat kerja dan memastikan Majlis Perubatan Malaysia memberi amaran tegas kepada pembuli tentang kemungkinan hukuman,” katanya.
HWCITF ditubuhkan oleh KKM selepas seorang PPS dari Hospital Besar Pulau Pinang ditemui mati pada 17 April 2022.
Ia dipercayai berlaku dua minggu selepas si mati melaporkan diri untuk bertugas di hospital.
Susulan daripada itu, wujud pasukan khas dan laporan membabitkan 162 muka surat mengandungi hasil tinjauan pada Mei lalu.
Sementara itu, ARMADA turut melancarkan Gerakan Tunku Abdul Rahman (TAR) untuk membantu KKM menyelesaikan masalah buli di hospital.
Katanya, Gerakan TAR diketuai pengamal perubatan, Dr Aiman Alias.
“Gerakan TAR bersedia untuk menyerahkan memorandum kepada KKM, dalam masa terdekat,” katanya.