HomeBeritaBakal guru dari Semenanjung ditugas ke Sarawak perlu disaring rekod jenayah

Bakal guru dari Semenanjung ditugas ke Sarawak perlu disaring rekod jenayah

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Kerajaan persekutuan disaran membuat polisi mewajibkan saringan terperinci ke atas bakal guru yang akan ditugaskan ke Sarawak, tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, polisi berkenaan sebagai tapisan bahawa mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau terutama jenayah seksual.

Saranan ini jelas Fatimah berhubung kes seorang guru yang disyaki merogol dua pelajar di sebuah sekolah menengah di Bintulu baru-baru ini.

Suspek yang berasal dari Tumpat, Kelantan kini menghilangkan diri sejak 19 Julai setelah dua mangsa membuat laporan polis pada 27 dan 29 Julai.

“Memandangkan suspek masih belum ditemui saya mengharapkan pihak polis di negeri serta di Semenanjung Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendidikan meningkatkan usaha mencari suspek untuk dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.

Fatimah berkata demikian dalam sidang media hari ini di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur Kuching.

Sementara Fatimah turut mendedahkan gaji guru berkenaan telahpun dibekukan dan pencarian oleh pihak berkuasa masih dijalankan.

“Pihak kita juga telah dimaklumkan mengenai tindakan yang diambil oleh pejabat pendidikan dan kes telah dimajukan kepada Lembaga Tatatertib Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak,” ujarnya.

Dalam pada itu Fatimah turut meminta siasatan menyeluruh dilakukan dengan tidak terhad kepada Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK).

“Ini adalah kes harapkan pagar pagar makan padi… guru sepatutnya menjadi tokoh yang berwibawa tetapi malang buat para pelajar yang menjadi mangsa,” katanya lagi.

Sementara, Fatimah memberitahu pihaknya sedia membantu mangsa dari segi kaunseling sebagai inisiatif meringankan trauma mereka.

Author

Pilihan Editor