HomeTeknologi'Blockchain' tangani kartel daging

‘Blockchain’ tangani kartel daging

KUALA LUMPUR: Teknologi Blockchain berupaya menangani sindiket kartel daging yang dipercayai beroperasi sejak 40 tahun lalu.

Teknologi itu mampu menjejaki integriti rantaian bekalan dari segi keselamatan verifikasi status daging import halal, loji penyembelihan, badan pensijilan halal, pemprosesan, pembungkusan, pengedaran sehingga kepada pengguna.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, isu kartel antara yang ditekankan dalam Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara 2021-2025 bertujuan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pembangunan dan aplikasi Blockchain melalui kerjasama serta sinergi strategik.

Katanya, penyertaan komuniti dalam teknologi berkenaan turut membantu mengawal masalah pemalsuan rekod dan mengurus tadbir penjejakan rantaian bekalan.

“Dengan sistem blockchain ini, bukan sahaja dapat mengelak kegiatan kartel atau monopoli malah membantu kebanyakan pengguna blockchain dalam industri yang berkaitan dengan jaringan pembekalan diurus baik.

“Kita yakin, industri berkaitan dengan bekalan daging dapat dibangunkan dan ia ada keutamaan kerana, negara Timur Tengah berkaitan dengan penduduk Islam perlukan perkara ini (blockchain),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Teknologi di Aloft Kuala Lumpur Sentral.

Lima Pelan Hala tuju Teknologi itu ialah Pelan Hala Tuju Elektronik dan Elektronik: Pembangunan Teknologi 2021-2030, Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara 2021-2025, Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan 2021-2025.

Dua lagi ialah Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Nasional (Advanced Materials) 2021-2030 dan Pelan Hala Tuju Robotik Negara 2021-2030.

Dr Adham mengulas lagi, teknologi blockchain itu turut terpakai ketika pandemik bagi mengesan perjalanan bekalan vaksin sehingga kepada pesakit.

“Teknologi ini kita pakai masa pandemik. Bagaimana vaksin daripada pengilang sampai kepada pesakit dan ia tersusun seolah tiada perkara diragui keberkesanannya, keselamatan, kualiti dibekalkan,” katanya.

Author

Pilihan Editor