HomeBeritaCampur tangan, keistimewaan pihak tertentu dalam perundangan wajib dihapuskan - BERJASA

Campur tangan, keistimewaan pihak tertentu dalam perundangan wajib dihapuskan – BERJASA

KUALA LUMPUR: Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) prinsip negara seperti termaktub di dalam Perlembagaan iaitu kesamarataan manusia di hadapan undang-undang tanpa mengira darjat, pangkat atau status harta dipertahankan.

Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim berkata, campur tangan atau keistimewaan pihak tertentu dalam perundangan yang bertentangan dengan Perlembangan wajib dihapuskan dan rakyat akan boleh hidup bahagia selain memiliki kehidupan lebih harmoni.

“Begitu juga dalam impian kita dalam politik, landskap politik negara ini akan bertukar secara keseluruhan dengan mengamalkan konsep politik matang dan integriti tinggi,” katanya.

Ini termaktub dalam enam teras utama dalam mengembalikan negara unggul dan bermaruah diterajui pimpinan Melayu Islam seperti diperjuangkan BERJASA.

Zamani berkata, enam teras berkenaan adalah panduan dalam merangka segala gerak kerja pada masa hadapan.

Teras berkenaan terdiri daripada identiti nasional dan perpaduan, ekonomi dan sara hidup, pendidikan dan teknologi namun penekanan diberikan ke atas Perlembagaan dan perundangan.

“Sebagai sebuah negara unggul perlukan Perlembagaan sebagai tunjang utama sistem dan tadbir urusnya.

“Kita tidak mahu melihat situasi Ah Lim, Ajib atau Rama yang terbukti bersalah melalui sistem perundangan negara menerima sebarang kekebalan atas sebab kedudukan. Keadilan perlu diberikan kepada semua ahli masyarakat tanpa sebarang kompromi.

“Begitu juga dalam politik yang mahukan kepimpinan yang unggul selain diacu dengan acuan kita sendiri dan bebas daripada pemikiran penjajah.

“Sistem pemerintahan akan bertunjangkan prinsip dan nilai-nilai murni yang lahir dari jati diri dan identiti nasional, begitu juga dalam bidang ekonomi akan dipacu dengan acuan sendiri oleh tenaga kerja yang berpengetahuan dan kemahiran tinggi,” katanya ketika berucap sempena Himpunan Nasional 2022, di sini hari ini.

Pengerusi Gerakan Tanah Air, Tun Dr Mahathir Mohamad turut hadir merasmikan majlis berkenaan.

Dalam pada itu, jelas beliau BERJASA mahu melahirkan masyarakat majmuk unggul memahami identiti nasional bertunjangkan jati diri Melayu dan tidak menolak keunikan adat dan budaya lain di negara kita.

“Saya yakin Malaysia mampu memacu untuk berdiri di atas kaki sendiri dan bebas bergantung dengan kuasa besar.

“Begitu juga dalam teras pendidikan dan modal insan yang mampu melahirkan modal insan yang bersatu, integriti dan berdaya saing dan negara akan mencapai kesatuan melalui dasar pendidikan negara,” katanya.

Author

Pilihan Editor