Oleh: FATTAH RAZZAQ
MANCHESTER United Red Devils akhirnya mengumumkan secara rasmi bahawa Casemiro menyertai kelab itu dengan yuran perpindahan €70 juta untuk pemain tengah defensif itu.
Bekas pemain Real Madrid itu ditawarkan kontrak empat tahun dengan pilihan lanjutan setahun lagi.
Casemiro menjadi sasaran pengerus Erik Ten Hag untuk menguatkan barisan tengah selain melindungi barisan pertahanan United yang mempamerkan aksi longlai pada dua aksi pertama musim baharu.
Pemain antarabangsa Brazil itu kini menjadi pembelian atau penandatanganan keempat United dalam musim panas kali ini dan menjadi salah seorang penerima gaji lumayan iaitu dengan €415 ribu seminggu, gaji yang sama dengan penjaga gol, David De Gea.
Laporan tentang minat United ke atas pemain itu bermula minggu lalu walaupun sebelum ini, Casemiro bukanlah dalam senarai keutamaan United.
Tetapi oleh kerana mereka terus gagal mendapatkan Frank De Jong, dan kemudian gagal mencapai kesepakatan dengan Adrien Rabiot, nama Casemiro dianggap calon terbaik untuk dibawa masuk ke United.
Walaupun United dianggap agak perlahan dalam memuktamadkan perjanjian pemain, namun kali ini mereka benar-benar pantas dan cekap.
Sebelum ini, Real menawarkan kontrak baharu kepada pemain itu, namun ianya ditolak oleh Casemiro yang berusia 30 tahun itu.
Kelab gergasi La Liga itu kini memiliki Tchoumeni dan juga Camavinga yang dianggap calon pengganti kepada Casemiro.
Casemiro memiliki rekod tiga kejuaraan La Liga, lima kejuaraan UCL bersama Real dan dianggap salah seorang pemain tengah defensif terbaik pada eranya.
Walaupun sudah mendapatkan Casemiro, Manchester United dilihat masih aktif memburu pemain baharu dalam jendela perpindahan kali ini.