KUALA LUMPUR: Bilangan kes baharu COVID-19 turun sebanyak 17.9 peratus kepada 18,715 kes pada Minggu Epidemiologi ke-34 (ME 34/2022) dari 21 hingga 27 Ogos.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi tempoh sama, 60 kes kematian direkodkan, meningkat sebanyak 7.1 peratus berbanding minggu sebelumnya.
“Bilangan kes sembuh pada ME 34/2022 menurun sebanyak 5.4 peratus iaitu 26,458 kes kepada 25,037 kes.
“Purata kes aktif setiap hari bagi ME 34/2022 adalah 36,179 iaitu terdapat penurunan sebanyak 13.9 peratus berbanding minggu sebelumnya,” menurutnya dalam kenyataan berkaitan situasi semasa jangkitan COVID-19, hari ini.
Sementara itu, kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk untuk pesakit kategori 1 dan 2 berkurangan sebanyak 15.8 peratus manakala pesakit kategori 3, 4, dan 5 turun 15.2 peratus.
Dr Noor Hisham berkata pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) pada ME34/2022 menurun dua peratus, katil bukan kritikal berkurangan tiga peratus dan katil PKRC turun satu peratus.
Selain itu, peratusan pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menurun 0.3 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Menurut kenyataan itu, kes positif yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara menunjukkan penurunan meliputi bilangan kedatangan pesakit ke CAC berkurangan 13 peratus, kes baharu COVID-19 yang menjalani pemantauan di rumah menurun 19.5 peratus manakala kes dirujuk CAC ke hospital turun 26 peratus.
Beliau berkata purata nilai RT juga menunjukkan penurunan 5.3 peratus pada ME 34/2022.
Hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati 140 sampel Penyakit Seperti Influenza (ILI) dikesan positif COVID-19 dengan kadar 15.5 peratus, manakala tiada sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif COVID-19 dan kekal 0 peratus pada ME34/2022. – BERNAMA