HomePendidikanDemi KPI sanggup langgar integriti, etika

Demi KPI sanggup langgar integriti, etika

KUALA LUMPUR: Sikap berlumba-lumba mengejar penilaian petunjuk prestasi utama (KPI) yang berlaku dalam sesebuah organisasi boleh menyumbang kepada masalah integriti dan tidak beretika.

Sewajarnya KPI menjadi kayu pengukur seseorang kakitangan untuk dinilai kredibilitinya, kemajuan, pencapaian, keberhasilan kerja tetapi sebaliknya berlaku apabila ada yang sanggup terima rasuah, buat kerja ikut arahan yang dianggap ‘wahyu’ demi memuaskan hati pegawai atasan.

Kita sering dengar golongan yang kejar KPI ini dalam badan penguatkuasaan dan perundangan, bagaimanapun budaya tidak sihat ini juga semakin menjadi-jadi di institusi pengajian tinggi (IPT).

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Norazlinda Mohammad berkata, kebelakangan ini, berlaku pengabaian etika dan integriti dalam kalangan ahli akademik akibat desakan pengaruh pengurusan tertinggi iaitu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pendidikan perniagaan dan fenomena berlumba-lumba mengejar ranking universiti.

Setiap tahun, ahli akademik dituntut untuk mengejar KPI dan pensyarah akan saling bersaing menulis dan membuat penyelidikan bagi memastikan hasil penulisan mereka disiarkan, diterbitkan di jurnal-jurnal bertaraf Scopus, Web of Science, ERA dan sebagainya.

Bagaimanapun, katanya, KPT perlu sedar dan peka akan permasalahan mengejar KPI dan ranking universiti kerana ia secara tidak langsung mewujudkan budaya kerja yang tidak sihat serta menjejaskan integriti.

Realitinya, katanya, isu penyelewangan kerja atau masalah integriti tidak boleh dipandang enteng atau sebelah mata sahaja kerana ia menyumbang kepada kesan profesionalisme, keberkatan pendapatan pensyarah, imej jabatan, fakulti pengajian, IPT, kewibawaan pembangunan akademik, kesarjanaan, pembangunan masyarakat, industri dan negara.

“Segelintir pensyarah yang berjiwa besar menganggap ia menjadi pemangkin semangat dan komited kepada usaha untuk mencapai KPI.

“Ada sebahagiannya yang mungkin rasa terbeban dan tertekan dengan gesaan mengejar KPI secara paksa.

“Ini membuatkan sehingga ada yang mendedahkan diri dengan masalah integriti, penyelewengan kerja, ketirisan dengan memalsukan data atau plagiat penulisan, penerbitan jurnal bagi memenuhi tuntutan KPI secara jalan pintas,” katanya menerusi pandangan yang dikongsinya di media.

Akibat daripada tuntutan yang sukar dipenuhi, dakwanya wujud kelompok ahli akademik yang bercita-cita tinggi dan tidak rasional hingga mengenepikan prinsip atau dasar Integriti, Etika dan Profesionalisme.

“Contohnya, seorang pensyarah biasa ingin mendapatkan kenaikan Profesor Madya atau Profesor dengan kaedah yang mencurigakan.

“Ia mempengaruh profesionalisme seseorang pensyarah dan dikhuatiri akan melahirkan pensyarah yang kurang berkompetensi, menjejaskan kewibawaan dan imej profesi individu,” katanya.

Beliau turut tidak menafikan, adakalanya perlaksanaan KPI yang tidak realistik menyebabkan wujudnya permasalahan sebegitu.

“Justeru, permasalahan ini perlu diambil berat kerana ia melambangkan budaya kerja.

“Apa yang menyedihkan, terdapat kajian atau penyelidikan yang agak tersasar kerana pensyarah menghasilkan tajuk kajian atau penulisan bukan untuk merangsang minda pembaca atau mendidik masyarakat tetapi lebih kepada mengejar KPI iaitu fokus untuk diterbitkan di jurnal-jurnal berindeks tanpa memikirkan kualiti kandungan,” katanya.

Oleh itu, katanya, perlaksanaan KPI perlu rasional selari dengan kejujuran, integriti dan semula jadi bukan dengan kaedah paksaan atau jalan songsang.

“Budaya kerja yang baik, sihat berlandaskan kepada kemajuan prestasi seharusnya ditekankan, diamalkan oleh ketua jabatan fakulti dan warga akademik kerana ia akan melestarikan kualiti pencapaian yang tulen dan kecemerlangan sesebuah organisasi selaras dengan budaya bersih, cekap dan amanah.

“Jangan hanya kerana mengejar KPI, ahli akademik bertindak semberono dan bertindak membuta tuli tanpa memikirkan kaedah dan kualiti kerja yang dihasilkan,” katanya.

Perlu diingat, katanya, lahirnya seorang cendekiawan, pemimpin gemilang, terbilang dan berwawasan dari kancah atau gedung ilmu yang mementingkan kualiti, integriti, kesungguhan berdaya saing dengan sihat dan cemerlang bukan hanya kerana mengejar KPI.

Namun katanya, individu seperti di atas mengutamakan tunjang kerohanian, spiritual mental, rasional dan jasmaninya di dalam merencana kehidupan.

Secara harfiahnya, ahli akademik perlu sedar dan peka jika mendapati diri berprestasi rendah dan tidak menunjukkan kemajuan perlu segera bangkit dan bergerak secara berkumpulan.

“Mengejar KPI tidak salah bahkan dituntut oleh setiap pensyarah yang berkhidmat sejak awal semester bermula, tetapi perlu dilakukan dengan bijaksana, terancang dengan perancangan yang mampan dengan berada di dalam kumpulan atau bergerak secara berpasukan.

“Ahli akademik atau pendidik perlu bersikap waras, rasional dengan mempamerkan sikap integriti dan jujur di dalam apa sahaja yang dilakukan tidak kira dalam pengajaran & pembelajaran (P&P) dan mengejar KPI.

“Sudah pasti, pensyarah tidak mahu dilabelkan sebagai seekor ketam yang mengajar anaknya berjalan senget dan pincang,” katanya.

Author

Pilihan Editor