HomeBeritaViralGara-gara terpengaruh 'influencer' makan tiram mentah, ramai pengikut keracunan makanan

Gara-gara terpengaruh ‘influencer’ makan tiram mentah, ramai pengikut keracunan makanan

Oleh: SITI NS

TULAR baru-baru ini di TikTok seorang ‘influencer’ yang membuat reviu tempat makan dengan yang menghidangkan tiram mentah sehingga menjadi buruan pengikutnya dan juga orang ramai untuk mencuba menu tersebut di Petaling Jaya.

Setelah video hidangan tiram itu tular, ramai yang pergi mencuba hidangan tersebut tetapi malangnya kebanyakan daripada mereka mengalami keracunan makanan daripada hidangan di ‘food court’ tersebut.

Oleh kerana ramai yang memuat naik video mereka mencuba selepas itu mendapat keracunan makanan, ‘influencer’ yang mengatakan hidangan itu sedap dan segar, dikecam teruk oleh netizen bukan sahaja di TikTok tetapi juga di Twitter.

Tiram mentah sebenarnya boleh mengundang risiko keracunan makanan memandangkan ia berasal dari laut dan terdapat bakteria vibrio parahaemolyticus yang hanya boleh dimatikan dengan cara memasak tiram tersebut. Bakteria tersebut termasuk dalam bakteria patogenik yang boleh menjadi penyebab keracunan makanan, lebih-lebih lagi jika tiram itu sudah tidak segar.

“Bilangan bakteria ini akan bertambah banyak ketika suhu air meningkat. Malah, bakteria ini boleh membiak pada kerang-kerangan moluska termasuklah tiram. Apabila ia dimakan mentah atau separuh masak, keracunan makanan boleh berlaku,” menurut hantaran di laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Labuan.

Penyimpanan tiram juga penting kerana perlu disimpan dalam suhu sejuk selepas penangkapannya kerana ianya amat penting bagi mengekalkan kesegaran agar ia tidak cepat rosak.

Orang ramai perlu mengambil kira risiko jika ingin mencuba hidangan tiram mentah kerana anda boleh mengalami keracunan makanan di antara 12 hingga 24 jam selepas makan dan kadang-kala ianya boleh berlanjutan sehingga tujuh hari.

Bayangkan jika cirit-birit, sakit perut, muntah dan demam sehingga tujuh hari. Sememangnya ia akan menjadi satu detik hitam dalam kehidupan jika perkara sebegitu berlaku.

Rata-rata netizen berpesan untuk mendapatkan hidangan tiram mentah yang betul-betul segar dan selamat, haruslah ke tempat yang dijamin kesegaran dan penyimpanan makanan laut tersebut, bukanlah di tempat terbuka seperti di ‘food court’ seperti yang sedang tular sekarang.

Author

Pilihan Editor