Oleh: FATTAH RAZZAQ
KUALA LUMPUR: Giant Malaysia menyasar untuk menyediakan 500,000 hidangan makanan menjelang akhir tahun depan dengan kerjasama The Lost Food Project (TLFP) sempena kempen ‘Sudah Makan?’.
Pengarah Pemasaran (Makanan) Asia Tenggara DFI Retail Group, Lee Yik Hun berkata, pihaknya juga juga akan menyumbang 10 sen untuk pembelian setiap kilogram beras jenama Meadow kepada mereka yang memerlukan.
Yik Hun berkata, kempen itu tidak hanya tertakluk kepada semua produk beras Meadows yang dijual di Giant, tetapi turut juga merangkumi semua pasaraya Cold Storage, Mercato dan TMS di Malaysia.
“Malah, saya juga dengan berbesar hati ingin mengumumkan bahawa dalam usaha untuk mencapai matlamat membekalkan 500,000 hidangan makanan kepada mereka yang memerlukannya.
“Kami akan mengembangkan program sumbangan makanan Giant bersama TLFP dengan menambah 12 pasar raya lagi bagi meningkatkan jumlah lebihan makanan yang disumbangkan.
“Peningkatan ini adalah perlu kerana kini terdapat lebih banyak keluarga yang memerlukan bantuan, terutamanya pasca pandemik, di mana lebih ramai dalam komuniti kami telah terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Majlis pelancaran kempen ‘Sudah Makan?’ Giant berlangsung baru-baru ini serentak program tanggungjawab sosial korporat (CSR) lebihan makanan.
Sementara itu, Yik Hun menambah, Giant Malaysia merancang untuk membuka empat lagi Giant Mini bulan depan, menjadikan jumlah keseluruhan perniagaan kedai runcit terbaharunya itu negara ini sebanyak 50 cawangan.
Beliau berkata pihaknya kini sedang giat mengembangkan kehadiran Giant Mini selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Menurutnya, salah satu sebab utama pihaknya membuka kedai berkonsepkan runcit seperti Giant Mini ini adalah untuk memberi kemudahan dari segi akses kepada masyarakat.
“Ramai pelanggan kami mengatakan harga produk yang dijual di Giant adalah murah dan berpatutan, produk juga bagus tetapi lokasinya jauh.
“Maka, kami mahu membawa pengalaman mereka membeli-belah di Giant kepada masyarakat berdekatan menerusi pembukaan kedai runcit sebegini.
“Malah, majoriti produk dan barangan yang dijual di Giant Mini adalah sama dari segi harga dengan yang dijual di pasar raya Giant. Ia menawarkan lebih 4,000 produk unit simpanan stok (SKU) bergantung kepada saiz kedai,” katanya.