HomeBeritaViralHero gadai nyawa selamatkan kanak-kanak, ibu bapa boleh didakwa cuai

Hero gadai nyawa selamatkan kanak-kanak, ibu bapa boleh didakwa cuai

CYBERJAYA: Pepatah Melayu selalu mengatakan berbuat baiklah pada yang lain, pasti ada balasan yang baik juga diterima.

Bukan Abang Viva seorang sahaja hero penyelamat tetapi ada lagi seorang lelaki yang sanggup gadaikan nyawa demi selamatkan nyawa seorang kanak-kanak.

Tindakan berani itu tular di TikTok di mana seorang lelaki menyelamatkan seorang kanak-kanak yang hampir terjatuh di sebuah pangsapuri.

Berdasarkan video tersebut, kanak-kanak keluar beranda rumah setinggi tiga tingkat mendapat perhatian orang ramai lalu seorang lelaki dilihat keluar menerusi beranda rumah jiran kanak-kanak itu dan seterusnya mengangkat masuk kanak-kanak itu ke dalam rumah.

Ketangkasan dan keberanian lelaki tersebut juga mendapat pujian ramai netizen kerana sanggup bergadai nyawa.

“Individu ini sewajarnya digelar wira apabila sanggup menggadai nyawanya sendiri untuk menyelamatkan mangsa.

“Abang itu boleh dapat pangkat kepujian atas keberanian. Satu nyawa amat berharga, Tahniah abang!” kata seorang lagi.

Seorang lagi pengguna media sosial berkata, “Alhamdulillah abang tu betul-betul ‘hero’. Mana mak ayah budak tu?”

Untuk makluman, ibu bapa atau penjaga yang mendedahkan kanak-kanak kepada sebarang cara yang mungkin menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal atau emosi boleh didakwa mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Pengamal undang-undang, Fahmi Abd Moin dilapor berkata Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 menggariskan kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Mengikut seksyen itu, mana-mana individu, ibu bapa, atau penjaga yang didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Mana-mana individu yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak dan kemudian mendedahkannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi, boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Author

Pilihan Editor