HomeBeritaIsu banjir di Selangor bukan seperti pindah istana Balqis - Exco

Isu banjir di Selangor bukan seperti pindah istana Balqis – Exco

SHAH ALAM: Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim memberitahu isu banjir di Selangor bukan boleh diselesaikan dalam satu malam seperti sejarah memindahkan istana Ratu Balqis.

Beliau mengulas dakwaan kerajaan negeri lambat bertindak untuk melaksanakan projek tebatan banjir yang memerlukan penyelesaian beberapa perkara termasuk isu tanah, kejuruteraan dan proses perolehan atau tender.

“Isu banjir adalah isu besar yang perlu melalui prosedur tertentu kena tengok tanah milik siapa, kena dapatkan kelulusan reka bentuk kejuruteraan dan bukan semua boleh kerja kontrak boleh diberi secara ‘lantikan terus’ nanti SPRM soal jabatan kami pula.

“Sebab itu kita ada pelan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

“Kebanyakan projek utama tebatan banjir akan dilaksanakan mulai Januari tahun hadapan bernilai keseluruhan lebih RM6 bilion termasuk peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM4.7 bilion untuk pelencongan air Sungai Damansara.

“Selain pelencongan air, projek tebatan banjir melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu juga akan dilaksanakan di Sungai Langat, Sungai Klang, Sungai Kapar Kecil dan Kapar Besar serta Sungai Kuyoh.

“Kesemua projek diselaraskan di bawah Jawatankuasa Skim Jaminan Air Mentah (SJAM)  yang pada asalnya untuk mengurus masalah pencemaran sungai dan gangguan bekalan air, namun kemudian dikembangkan kepada pengendalian banjir dan kecemasan.

“Projek berkenaan dibahagikan kepada fasa jangka pendek dan sederhana antaranya pembinaan kolam takungan air baharu di Taman Sri Muda berhampiran Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) bernilai RM15 juta di bawah JPS,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selain itu, Izham berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melaksanakan Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD) bernilai keseluruhan RM302 juta bagi tempoh 2022 hingga 2025 yang mana sebahagian projek bernilai RM20 juta akan dilaksanakan di Taman Sri Muda pada bulan hadapan dan dijangka siap pada Mac 2023.

“Fokus kita kepada Taman Sri Muda juga, terdapat projek bernilai RM160 juta iaitu pembinaan tembok banjir dan RM450 juta di Sungai Damansara.

“Sementara itu di Sungai Damansara juga pelencongan air ke Tasik Ladam akan dilaksanakan menerusi projek daripada Kerajaan Persekutuan.

“Gelombang banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 mungkin berulang jika cuaca buruk pada musim tengkujuh seperti Disember tahun lalu.

“Kebanyakan projek utama tebatan banjir seperti pendalaman Sungai Klang pembinaan kolam takungan baharu dan pelencongan aliran Sungai Damansara pula dijangka bermula Januari tahun hadapan,” katanya.

Izham memberitahu, pelbagai langkah awal diambil melibatkan perbelanjaan sebanyak RM11.5 juta seperti pembinaan ban, pembelian set generator dan pam air baharu sedang dilaksanakan dan situasi diramal tidak seteruk yang lalu.

Pelan jangka pendek seperti pembinaan ban di Sungai Klang dan Sungai Rasau bernilai RM2 juta, serta penempatan 15 pam air termasuk dua jenis mudah alih di sana sedang dilaksanakan.

“Fokus peringkat awal ketika ini adalah di Taman Sri Muda apabila kawasan tersebut dikenal pasti sebagai paling rendah dan akan menerima limpahan air dari hulu Sungai Klang di Gombak dan Kuala Lumpur apabila hujan lebat.

“Usaha kerajaan adalah untuk memastikan limpahan air dapat dilencongkan dan dilepaskan di kolam-kolam yang dikenal pasti.

“Pam sudah beli, ban sudah siap. Selain itu, kerajaan negeri turut membeli set generator baharu sebagai ganti sekiranya pencawang elektrik di sana tidak berfungsi akibat ditenggelami air untuk menghidupkan pam dan pintu air, menerusi peruntukan tersebut,” katanya.

“Bermula Januari 2023 juga, kerajaan negeri melalui syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bersama Landasan Lumayan Sdn. Bhd. akan melaksanakan projek pendalaman Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari sempadan Selangor-Kuala Lumpur bernilai RM700 juta.

“Sebagai permulaan, pendalaman sungai di kawasan Taman Sri Muda bernilai RM155 juta akan dilaksanakan terlebih dahulu untuk mendalamkan 30 peratus hingga 50 peratus berbanding paras 1.5 meter sekarang dan keseluruhannya dijangka siap dalam masa tiga tahun,” jelasnya.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah itu lagi, terdapat 98 kolam tadahan dikenal pasti sebagai tempat takungan air banjir termasuk 21 yang dalam perancangan dan baharu dibina serta 29 daripadanya berhampiran Sungai Klang.

Author

Pilihan Editor