HomeBeritaJangan hina orang yang dijatuhkan hukuman dunia - Khairuddin

Jangan hina orang yang dijatuhkan hukuman dunia – Khairuddin

KUALA LUMPUR: Rakyat diingatkan bersikap lebih rasional dalam menilai keputusan hakim di Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan ke atas mantan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang pernah umum keluar PAS menasihatkan orang ramai agar tidak melihat ujian terhadap Najib sebagai satu yang boleh dipersendakan.

Ujian adalah ketetapan dari Allah untuk setiap hambaNya dan beliau berpendapat Najib sebagai mantan perdana menteri, pernah meninggalkan jasa kepada negara dan rakyat malah, membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam tempoh sembilan tahun pentadbirannya.

“Benci janganlah sampai menghina orang yang dijatuhkan hukuman dunia, bahagian kita belum tahu lagi.

“Saya sudah melihat banyak orang yang dihukum di dunia namun tidak menggugurkan penghormatan terhadap dirinya malah ada yang bangkit dengan lebih mulia,” katanya kepada media.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki berpandangan Najib tidak bersalah kerana keberaniannya melafazkan sumpah mubahalah hujung minggu lalu, walaupun ia bukan daripada prosedur perundangan.

Tindakan Najib itu membuatkan beliau belum yakin bahawa Najib benar-benar bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Bagaimanapun, Mohd Zuhdi tetap menghormati keputusan hakim di Mahkamah Persekutuan terhadap Najib.

Beliau, secara peribadi menyuarakan, Najib benar-benar tidak melakukan kesalahan seperti yang dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

“Keberanian Najib untuk melakukan sumpah mubahalah – walaupun ia bukan sebahagian daripada proses perundangan – menyebabkan saya berpendirian sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Zuhdi yang juga setiausaha politik kepada Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menambah Najib banyak berjasa kepada negara, termasuk melaksanakan transformasi dasar dan amalan yang ditinggalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Katanya, dia yakin tanpa transformasi Najib itu negara akan kurang bersedia menghadapi pandemik COVID-19 baru-baru ini.

“Tidak dapat dinafikan, peranan Najib adalah besar untuk membuka perdamaian di antara PAS dan Umno yang telah bermusuhan begitu lama sebelum ini,” katanya.

Pilihan Editor