HomeBeritaKDNK Sarawak perlu tumbuh 6-8% jadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030

KDNK Sarawak perlu tumbuh 6-8% jadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Jika Sarawak maju maka Malaysia juga akan maju, demikian kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob diulangi oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

Kata semangat itu diungkapkan oleh Ismail Sabri pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia minggu lalu di sini tetapi hari ini disebut Abang Johari lagi bagi menggambarkan Sarawak optimis menghala pembangunan untuk bergelar negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Tegas Abang Johari dalam perjalanan Sarawak ke arah sasaran positif itu, negeri ini memerlukan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara enam hingga lapan peratus.

“Sebab itu GPS (Gabungan Parti Sarawak) menekankan pembangunan jangka panjang dengan menambah nilai kepada sumber yang sedia ada di Sarawak.

“Ketika ini saya melihat sendiri keyakinan pelabur terhadap ekonomi Sarawak iaitu kini pelaburan melebihi RM60 bilion disuntik ke dalam ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang 2022 peringkat negeri di kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Merangka pulangan positif lagi selepas ini Abang Johari menekankan hasrat kerajaan Sarawak juga mahu memperkasakan negeri dan negara amnya dengan meningkatkan pembangunan di bandar dan luar bandar seiring dengan peredaran zaman ketika ini.

“Saya yakin anak-anak Sarawak kita akan dapat meningkatkan kepakaran dan kemahiran mereka untuk membawa kemakmuran kepada negeri kita,” ujarnya.

Selari dengan aspirasi demikian tegas Abang Johari kestabilan politik di Sarawak turut menjadi cerminan terhadap kepimpinan sedia ada dalam mencorak pembangunan negeri menerusi pendekatan digital.

“Situasi ini diyakini akan membawa pulangan yang baik kepada negeri dan negara ini,” jelas beliau sambil menzahirkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan kerana meminda Perlembagaan dan mengambil kira Perjanjian Malaysia 1963, selain mengiktiraf laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Kita mesti berjalan bersama dengan semangat satu pasukan Malaysia agar pasukan Malaysia mencapai kejayaan pada masa hadapan,” ujarnya.

Menurut Abang Johari pindaan Perlembagaan yang dilaksanakan tahun lalu merupakan dasar kepada beberapa faktor yang menjadi asas kewujudan Malaysia.

Terdahulu, Abang Johari melepaskan konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) yang akan melewati 33 daerah di negeri ini sebelum singgah di Betong pada 31 Ogos untuk sambutan Bulan Kebangsaan peringkat negeri.

Author

Pilihan Editor