HomeBeritaKibarlah Jalur Gemilang walau di mana bumi dipijak

Kibarlah Jalur Gemilang walau di mana bumi dipijak

KUALA LUMPUR: Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Hendaklah mengikut aturan dan adat yang diamalkan di tempat yang kita berada.

Begitulah pesanan beberapa pemimpin kepada rakyat kelahiran Malaysia supaya kibarkan Jalur Gemilang tidak kira di premis, kediaman, atau kenderaan masing-masing.

Meskipun filem Mat Kilau pecah panggung dikatakan membakar semangat patriotisme jiwa rakyat, tetapi ia tidak diterjemah melalui kibaran bendera keramat negara itu.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerusi satu hantaran dalam akaun Twitternya, menyeru pemilik premis seluruh negara untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

Ini kerana, beliau berasa hairan bahkan sedih melihat semangat patriotisme rakyat negara semakin luntur.

“Saya menyeru pemilik premis bangunan kerajaan, restoran bahkan kawasan perumahan untuk mula mengibarkan bendera Malaysia.

“Sayu apabila semangat patriotisme dalam kalangan anak bangsa kita semakin luntur. Ayuh, kita kembalikan roh semangat Merdeka!,” katanya.

Mengulas lanjut, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, bulan Ogos adalah bulan yang penuh bermakna bagi seluruh rakyat Malaysia, berikutan sambutan Hari Merdeka dapat menjadi bentuk penyatuan seluruh warganegara tanpa mengenal bangsa dan agama.

“Salah satu cara untuk kita menunjukkan tanda sayang dan cinta pada negara adalah dengan mengibarkan bendera Malaysia.

Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao Naidu turut menyeru perkara sama, kerana melihat segelintir tidak berminat dengan Jalur Gemilang walaupun ia diberi percuma, dalam satu program edar bendera itu, di sini, baru-baru ini.

Author

Pilihan Editor