ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel dalam satu serbuan di sebuah stor di kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, semalam.
Pengarah KPDNHEP Kedah Affendi Rajini Kanth berkata serbuan dilakukan pada 2 petang selepas menerima serahan kes daripada Pasukan Polis Gerakan Am (PGA), Cawangan Gerakan dan Risik Briged Utara PGA dan Risik Batalion 2 PGA Kulim.
“KPDNHEP menerima maklumat berlaku penyelewengan diesel bersubsidi di stor berkenaan dan dalam serbuan itu pihak kami telah menahan sebuah kepala lori bernombor pendaftaran Thailand yang telah siap diisi penuh dengan minyak diesel.
“Sejumlah 1,280 liter minyak diesel yang berada di dalam stor berkenaan telah disita bersama-sama peralatan lain yang digunakan bagi mengisi minyak. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM207,004,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata tiga lelaki termasuk seorang pemandu lori warga Thailand berumur antara 50 hingga 56 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kata beliau, stor berkenaan yang dipercayai baru beroperasi dijadikan sebagai tempat pengumpulan minyak diesel yang dipercayai dibeli dari beberapa stesen minyak di sekitar daerah Kubang Pasu sebelum dijual kepada lori-lori dari Thailand.
“Taktik ini dipercayai dibuat berikutan penguatkuasaan yang ketat ke atas larangan mengisi minyak diesel bersubsidi bagi kenderaan pendaftaran asing di stesen-stesen minyak negara,” katanya.
Affendi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan, serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – BERNAMA