HomeBeritaKPLB capai sasaran pelaksanaan projek tahun ini

KPLB capai sasaran pelaksanaan projek tahun ini

PUTRAJAYA: Datuk Seri Mahdzir Khalid bangga dengan pencapaian anggota dan kakitangan dalam membantu melaksanakan projek pembangunan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), tahun ini.

Ini kerana, KPLB berjaya mencapai sasaran pelaksanaan sebahagian besar projek pembangunan yang dirancang sepanjang tahun ini.

“Saya berdoa semoga kita semua diberi kekuatan bagi melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“Saya percaya banyak pencapaian program dan projek KPLB yang telah mencapai sasaran yang ditetapkan sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan Ogos KPLB di Ibu Pejabat kementerian itu di sini.

Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan pengurusan tertinggi serta warga kerja pelbagai peringkat KPLB.

Terdahulu, Mahdzir melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat kementerian.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan kepada mereka untuk terus bekerja keras melaksanakan tugasan yang masih ada.

Katanya, mana-mana program dan projek yang masih belum mencapai garis masa yang ditetapkan, langkah mengatasinya perlu dilakukan segera.

“Saya percaya bahawa, setiap apa yang kita lakukan adalah bertujuan untuk memakmur dan memajukan rakyat khususnya masyarakat luar bandar dan negara amnya,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir menegaskan supaya warga KPLB untuk lebih berhati-hati dengan sebaran berita palsu di media sosial yang boleh memecahbelahkan rakyat.

“Sehingga ke hari ini masih wujud unsur-unsur negatif dalam kalangan masyarakat di negara ini yang boleh menggugat ketenteraman dan kesepakatan antara kita, terutamanya dalam era media sosial yang tiada sempadan dan terdedah kepada anasir jahat dan berita palsu.

“Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, maka kita wajar menolak fahaman sempit yang boleh memecah belahkan masyarakat, dan tetap berpegang kepada prinsip bertolak-ansur dan hormat-menghormati antara satu sama lain,” kata Mahdzir.

Author

Pilihan Editor