SERIAN: Landskap sosio-ekonomi di Serian dijangka lebih rancak dengan pelaksanaan Projek Jalan Masuk ke Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Prangkaan–SRK Buguh–SRK Beruan dengan nilai peruntukan berjumlah RM22 juta.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun berkata projek berkenaan merangkumi aspek menaik taraf jalan sepanjang 13.5 kilometer dan pembinaan tiga jambatan.
Katanya, pelaksanaan projek sudah pun bermula pada awal Januari tahun ini dan dijangka mengambil masa kira-kira 24 bulan untuk siap sepenuhnya.
“Projek ini akan memberi manfaat kepada 2,400 penduduk di kawasan tersebut (Serian) terutamanya kepada pelajar dan guru di SK (Sekolah Kebangsaan) Philip Beguh.
“Ini sekali gus menjimatkan masa perjalanan daripada dua jam kepada 45 minit untuk pergi ke bandar berdekatan,” katanya.
Ramlan berkata demikian semasa Lawatan Kerja Projek Prasarana Luar Bandar di daerah Serian di sini semalam.
Bagaimanapun, Ramlan berkata, buat sementara waktu, penduduk kawasan masih lagi bergantung kepada pengangkutan sungai untuk ke bandar berdekatan.
Katanya, KPLB berharap dengan pembinaan dan kerja-kerja menaik taraf ini juga membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang di kawasan luar bandar.
Beliau menambah, ia selaras Aspirasi Kampung Sejahtera dan Dasar Pembangunan Luar Bandar.
“KPLB akan terus bekerjasama dengan wilayah Sarawak dalam memastikan peruntukan yang disalur membolehkan projek dilaksanakan dengan segera bagi memenuhi keperluan infrastruktur luar bandar,” katanya.
Untuk rekod, KPLB memperuntukkan sejumlah RM221.45 juta pada tahun 2022 bagi meningkatkan dan membina rangkaian jalan luar bandar di Sarawak.
Manakala sejumlah RM115 juta pula diperuntukkan bagi projek jalan perhubungan desa dan jalan ladang pertanian di Wilayah Sarawak.
Menerusi peruntukan yang diperolehi pada tahun 2022 Rancangan Malaysia (RMK) ke-12 ini membolehkan KPLB terus mempergiatkan kemudahan perhubungan jalan luar bandar di seluruh Sarawak.