HomeBeritaLCS belum boleh jatuhkan BN - penganalisis politik

LCS belum boleh jatuhkan BN – penganalisis politik

KUALA LUMPUR: Taktik untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dengan menyamakan skandal penyelewengan 1MDB dengan isu pembekalan kapal tempur pesisir (LCS) sebenarnya belum cukup ampuh untuk menguburkan parti gabungan itu.

Ia kerana, ramai lupa bahawa isu 1MDB ‘dimainkan’ pelbagai posisi oleh tentera siber pembangkang untuk mencambah kebencian di hati rakyat hampir tiga tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dan BN tumbang selepas itu.

Kebimbangan turut disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa pembubaran Parlimen tidak boleh dibuat sesuka hati dan secara tergesa-gesa tanpa kajian yang teliti kerana jika tersilap langkah ia akan boleh dianggap sebagai “membunuh diri”.

Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan pula berkata, dalam isu LCS dalang kelewatan penyiapan kapal itu belum diketahui sebenarnya .

“Jadi jika hendak dikatakan mahu tunggu lama seperti menyelesaikan isu LCS terlebih dahulu, ia kiraan salah.

“LCS adalah isu kelewatan menyiapkan kapal di mana kapal itu wujud bukanlah projek yang tidak wujud seperti terowong Pulau Pinang yang dikaitkan dengan Lim Guan Eng.

“Faktor ia lewat disiapkan juga banyak antaranya membabitkan kontraktor yang dihentikan pada zaman Pakatan Harapan apabila berlaku pertukaran kerajaan.

“Laporan perolehan LCS setebal 169 muka surat tak ada pun Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebut ada berlakunya money trail ataupun rasuah yang wujud sama ada antara Perdana Mentei, bekas menteri-menteri pertahanan.

“Namun pembangkang menaikkan isu ini kerana tiada modal lain untuk meraih sokongan rakyat dan menanam kebencian terhadap BN,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Pembangkang ketika ini dikatakan sedang berpecah, DAP tidak puas hati apabila logonya tidak digunakan Pakatan Harapan kerana taktik PKR mahu meraih undi Melayu.

Malah, Pengerusi DAP Lim Guan Eng berdepan dua kes rasuah di mahkamah namun tiada anak muda yang mahu turun padang untuk bawa isu ini.

Media baru-baru ini melaporkan seorang saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng membabitkan pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang, mengaku di Mahkamah Sesyen bahawa beliau menipu pada sidang media apabila mengatakan tiada elemen rasuah dalam pembinaan terowong itu.

Pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, dilapor berkata, beliau berbuat demikian selepas disuruh oleh Lim agar tidak mengaitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam kes rasuah.

Berbalik kepada persoalan bilahkah waktu sesuai untuk PRU, Azmi berkata jika diikutkan seharusnya dibuat pembubaran Parlimen secepat mungkun kerana isu LCS ini belum matang.

“Belum ada orang politik atau daripada UMNO dikaitkan secara langsung dalam pelakuan rasuah LCS dalam hal ini.

“Seharusnya PRU itu dipercepatkan, kerana pembangkang belum berjaya menyamakan LCS dan 1MDB,” katanya.

Baru-baru ini Ismail Sabri mahu isu pembekalan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melibatkan kontrak RM9.13 bilion perlu dijelaskan agar rakyat tidak membuat spekulasi sendiri.

Bercakap dalam temu bual Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia bersama Perdana Menteri  Ismail Sabri menyifatkan kegagalan kerajaan dahulu berkaitan isu 1MDB ialah kerajaan gagal menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat sehingga timbul banyak spekulasi.

Namun Ismail juga diingatkan untuk tidak masuk dalam perangkap pembangkang yang sedang menanam kebencian rakyat terhadap BN dalam isu LCS sedangkan pelakunya belum diketahui.

Pada 4 Ogos lepas, PAC mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 mendapati tiada satu pun kapal LCS disiapkan.

Menurut kontrak projek secara rundingan terus yang dibayar RM6.083 bilion itu, lima kapal harus disiap dan diserahkan pada Ogos 2022.

Pembekalan enam LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd itu menjadi isu ‘panas’ selepas pendedahan bahawa projek berkenaan yang sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun mulai 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023 hanya siap 53.29 peratus setakat 31 Mei 2019.

Author

Pilihan Editor