KUALA LUMPUR: Senator BERSATU, Datuk Razali Idris bertanya sama ada kerajaan berhasrat untuk menghapuskan pas bagi memudahkan rakyat Semenanjung masuk ke Sabah dan Sarawak.
Persoalan mengenai Entri Pas ke Sabah dan Sarawak diutarakan pada sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau bertanya kenapa rakyat Semenanjung masih perlu menggunakan pas masuk ke Sabah dan Sarawak manakala sebaliknya rakyat dari Sabah dan Sarawak tidak perlu menggunakan pas untuk ke Semenanjung.
Apa yang lebih menarik, beliau bertanya adakah kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskan entri pas ini untuk memudahkan rakyat dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
Untuk rekod, ramai lupa semangat pembentukan Malaysia dan perjanjian MA63 menyebut bidang kuasa Imigresen terletak di bawah Kerajaan Pusat tetapi Sabah dan Sarawak diberi kuasa tersendiri untuk mengendalikan hal-ehwal Imigresen.
Jadi Sarawak dan Sabah berkuasa mengawal hal imigresen ke negeri masing-masing.
Penduduk di Semenanjung harus mempunyai permit untuk belajar atau bekerja di sana.
Dan sesiapa yang melawat Sarawak dan Sabah harus mengisi borang imigresen terlebih dahulu.
Ini disebut di dalam Seksyen 66 Akta Imigresen 1959/1963, dan terkandung disebabkan MA63.
Seksyen 66(1) Akta Imigresen 1959/1963 (sebahagian):
“… seorang warganegara itu tidak dibenarkan untuk memasuki Malaysia Timur tanpa mempunyai permit atau pas melainkan-
(a) dia adalah memang dari Malaysia Timur…”
Pembatasan ini dilaksanakan adalah sebagai usaha untuk mengehadkan kemasukan kepada sesiapa yang hanya boleh menyumbang untuk (salah satu) negeri tersebut, dan juga sebagai langkah berjaga-jaga dari segi keselamatan.