HomeSukanMuay Thai Papar terus bertahan tanpa dana kerajaan

Muay Thai Papar terus bertahan tanpa dana kerajaan

PETALING JAYA: Muay Thai di Papar Sabah akan terus fokus ‘menghidupkan’ kelab sukan aksi tumpuan remaja, di Negeri Di Bawah Bayu itu meskipun tanpa bantuan dana kerajaan.

Presiden Kelab Tambuakar Muay Thai Papar, Jerry Michael Embang menyifatkan, sukan Muay Thai semakin berkembang di negeri itu selepas melihat ramai remaja berminat menyertai kelabnya.

Kelabnya yang kini dibantu ketua jurulatih kelab, Rozaimy Ahad, sudah mempunyai kira-kira 100 keahlian dan sedia mewujudkan pelapis baharu dalam sukan itu bermula usia tujuh, 10 dan 15 tahun dan ke bawah.

Justeru, kelab berkenaan mahu menganjurkan kejohanan di wilayah itu dengan berbekalkan pembiayaian sendiri, hujung tahun ini.

“Mungkin kami akan menganjurkan kejohanan dalam masa terdekat atau hujung tahun ini, jika kami dapat dana.

“Walaupun tiada dana daripada kementerian, buat masa ini, Kelab Tambuakar akan keluarkan dana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MEDIA VARIASI ketika ditemui di Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia anjuran Persekutuan Muay Thai Antarabangsa (IFMA) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, di sini.

Jerry Michael berkata, pihaknya sehingga kini masih tidak percaya apabila mampu membawa ‘team’ sehingga ke peringkat kejohanan dunia.

Katanya, bukan mudah untuk menjadi petinju yang cekal dalam arena ini kerana ia sukan lasak dan menggunakan kekuatan fizikal.

“Untuk menjadi ‘fighter’ dalam sukan ini, kita perlu ada hati, semangat, dan mental kena kuat.

“Latihan demi latihan perlu ada setiap hari, dan sukan ini secara tidak langsung membentuk disiplin diri,” katanya yang turut menyarankan petinju sentiasa menjaga pola pemakanan.

Atlet muda wanita negara, Deirdra Jacquelina Richard, salah seorang ahli kelab berkenaan antara generasi pelapis yang menjadi tumpuan pada kejohanan itu.

 

Author

Pilihan Editor