HomeBeritaMustahil PRU15 tahun ini, mereka bimbang hilang kuasa - Mahathir

Mustahil PRU15 tahun ini, mereka bimbang hilang kuasa – Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berpandangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak akan diadakan pada tahun ini memandangkan pemerintah bimbang kehilangan kuasa.

Pengasas Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, kerajaan ketika ini sedang mencari masa yang sesuai untuk memastikan mereka sudah diterima rakyat selepas pelbagai isu berlaku sepanjang tempoh pemerintahan mereka.

“Jika PRU diadakan segera, PM yang ada sekarang akan kehilangan jawatan dia, jika mereka (UMNO-BN) menang pun Ismail Sabri tidak akan menjadi PM lagi… jadi dia mahu berseronok kekal sebagai PM selama yang mungkin.

“Untuk berdepan PRU dengan selesa dengan sokongan penuh untuk membentuk kerajaan baharu nanti.

“Secara peribadi saya tak jangkakan PRU akan diadakan tahun ini khususnya sebelum Bajet 2023 (7 Oktober ini) tapi kita tak tahu sebab Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) mahukan PRU diadakan tahun ini sebab dia sedang berdepan kes perbicaraan rasuah di mahkamah dan saya fikir PM tak berapa cenderung (segerakan PRU),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Himpunan Nasional Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) 2022 di ibu negara hari ini.

Tambah Mahathir, kebiasaannya sesebuah kerajaan akan mengadakan PRU apabila percaya mereka mempunyai peluang besar untuk menang dan membentuk kerajaan memerintah yang kukuh.

Akan tetapi kali ini, beliau merasakan ramai ahli UMNO percaya mereka boleh menang dan membentuk kerajaan.

“Tetapi beberapa pemimpin dalam parti UMNO hanya mahu PRU diadakan untuk menyelamatkan kedudukan mereka.. saya rasa UMNO yang mana kerajaan sekarang sudah berpecah dan tidak berada dalam kedudukan yang boleh membuat keputusan bersama dalam soal PRU,” tegasnya.

Author

Pilihan Editor