HomeBeritaNajib diasingkan, terima makanan dari kafe penjara?

Najib diasingkan, terima makanan dari kafe penjara?

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditempatkan di sel pengasingan sebagai prosedur biasa pandemik di Maktab Penjara Kajang.

Sumber memberitahu, ia prosedur sama seperti banduan lain iaitu selepas membersihkan badan, bertukar pakaian mengikut kategori hukuman iaitu ungu untuk reman, warna putih dan biru bagi yang menjalani hukuman.

“Beliau ditempatkan di pusat kuarantin di Maktab Penjara Kajang selama lapan hari sebelum dipindahkan ke sel hukuman.

“Kemungkinan di sel hukuman beliau akan diasingkan daripada banduan lain kerana status jawatannya dalam masyarakat sebelum ini yang tidak sesuai seperti kerahsiaan negara dan lain-lain.

“Sebagai contoh tahanan SOSMA dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu juga diasingkan daripada banduan lain.

“Walaupun diasingkan namun pada masa-masa tertentu seperti kelas ilmuan akan dicampurkan bersama dan di sinilah semua sisi kehidupan akan dikongsi buat iktibar,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Menyentuh mengenai hidangan makanan mungkin berbeza daripada banduan lain kerana bagi yang mampu membayar bulanan RM550 (biasanya diuruskan ahli keluarga), menu makanan adalah daripada kafe penjara.

“Semua banduan diberi pilihan sama jika ahli keluarga uruskan bayaran bulanan, semua akan dapat selain makanan dari Koperasi Penjara (KoPen).

“Makanan dari koperasi biasanya ada Maggi, biskut, kek, spaghetti, ayam goreng, White Coffee, Hot Chocolate dan lain-lain.

“Antara menunya adalah bihun, mi goreng, nasi lemak, roti bakar dengan jem, nasi ayam masak merah, rendang, ayam kicap, kuah kari daging, kari kambing.

“Minuman biasanya ada ais batu dan air panas seperti Nescafe dan lain-lain.

“Boleh dikatakan rasanya semua sedap kerana ia disediakan oleh banduan yang menjalani latihan di bengkel penyediaan makanan dan katering.

“Banduan juga disediakan bahan bacaan, boleh menonton televisyen selain boleh menyertai mana-mana program seperti bersukan, kraftangan dan lain-lain.

“Mungkin di sini banduan akan lihat banyak perkara yang boleh ditambah baik kerana peruntukan terhadap penjara amat terhad kadang-kadang ada bekalan yang tidak cukup seperti ubat gigi, sabun dan ubat-ubatan lain,” katanya lagi.

Terdahulu, Jabatan Penjara Malaysia menyangkal khabar angin bahawa Najib akan menerima layanan istimewa di Penjara Kajang.

Di Facebook hari ini, jabatan itu memuat naik tangkap layar catatan yang disebarkan menunjukkan gambar sebuah bilik yang bersih dan luas, lengkap dengan rak dan meja mirip keluaran IKEA dengan tajuk “Penjara untuk VIP”.

“Hentikan penyebaran maklumat palsu,” kata jabatan itu dalam catatannya.

Media sosial dibanjiri dengan komen mengenai kemungkinan Najib menerima layanan VIP di dalam penjara setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.

Ketua Pengarah Penjara Datuk Nordin Muhamad sebelum ini dilaporkan berkata, Jabatan Penjara Malaysia buat pertama kali melancarkan Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan di 42 penjara seluruh negara bagi membentuk keharmonian antara penghuni penjara dan warden.

Nordin

Katanya, kewujudan pusat tersebut dapat membawa budaya baharu dalam kalangan warga kerja Jabatan Penjara yang bukan lagi tempat untuk menghukum.

Nelson Mandela pernah berkata, jika ingin melihat tamadun sesuatu bangsa, lihatlah bagaimana mereka melayan penghuni penjara.

Untuk rekod, Anwar sebelum ini dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998 atas dakwaan salah guna kuasa dan salah laku seksual.

Beliau dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada 14 April 1999 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas disabitkan atas empat kesalahan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa dengan campur tangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.

Pada 28 Ogos 2008, Anwar kembali ke Dewan Rakyat setelah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh atas tiket PKR apabila isterinya yang juga anggota Parlimen kawasan itu, Dr Wan Azizah, meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepadanya untuk bertanding.

Anwar seterusnya berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013.

Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 7 Mac 2014 oleh Mahkamah Rayuan, yang mendapatinya bersalah meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun sebelumnya.

Namun beliau kemudian mendapat pengampunan penuh yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan kini menjadi Ahli Parlimen Port Dickson.

Author

Pilihan Editor