OLEH: ARRIAN ZAYNE
KUCHING: Masih segar dalam ingatan Nek Siti, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memuji hasil sulaman Keringkam beliau lebih lembut ketika tali air dilurut oleh jemari baginda.
Menurut Nek Siti atau pemilik nama Dayang Siti Saadiah Abang Nor Saleh ini sebelum menyentuh Keringkam miliknya, jari baginda terluka sedikit ketika meluruti tali air (sulaman) di sisi selendang Keringkam benang emas milik orang lain.
“Cerita ini ketika saya mengadakan pertemuan dengan Permaisuri Agong… baginda meluruti tali air (sulaman) di sisi selendang Keringkam benang emas yang saya bawa lalu mengatakan sulaman saya lebih lembut berbanding orang lain… baginda bertanya apakah rahsia saya?,” ujar warga emas 92 tahun itu sambil tersenyum ketika ditemui MEDIA VARIASI baru-baru ini.
Tiada sebarang rahsia yang disimpan kata Nek Siti hanya amalan tidak memotong benang emas dengan gunting ketika menamatkan sulaman Keringkam atas kain.
“Saya hanya patahkan benang emas setelah ia disemat rapi ketika mengemas sulaman di peringkat penghujungnya…itu sahaja,” ujarnya sambil gerak-geri tangan membayangkan jarum tembaga di tangan.
Beralih kisah wanita berusia hampir seabad ini, Nek Siti digelar Penyulam Keringkam Diraja di Bumi Kenyalang ekoran beliau pernah diminta untuk meyulam lima selendang Keringkam benang emas untuk persandingan dan khatamal al-Quran Permaisuri Agong pada tahun 1986.
Pertemuan pertama adalah tahun 2019 yang lalu ketika baginda mencemar duli berangkat ke Kuching, Sarawak sejurus itu baginda menyuarakan hasrat ingin bertemu dengan gerangan siapa yang menyulam untuk baginda 36 tahun lalu.
“Apabila baginda datang ke sini (Kuching, Sarawak) baginda meminta ingin bertemu saya dan bertanya sama ada adakah penyulam Keringkam ketika persandingan baginda masih hidup?” kata Nek Siti.
Ketika bersua saat itu, baginda terus mendakap mesra Nek Siti membuatkan ramai mata memerhati ekoran Nek Siti adalah rakyat jelata biasa namun bertuah didekati Permaisuri Agong.
Kali kedua pertemuan kata Nek Siti tatkala baginda duli berkunjung ke sini baru-baru ini dan sekali lagi beliau mendapat jemputan untuk dua figura itu bertemu.
“Baginda bertanya apa rahsia saya kekal sihat? Kerana baginda tanya saya ada makan ubat-ubat atau ke Doktor? …sambil berseloroh saya cakap kalau rahsia mana boleh bagitahu,” katanya lagi sambil berbunga ketawa di hadapan penulis.
Masih juga bercerita tentang Keringkam kata Nek Siti namun pertemuan kali ini lebih kepada baginda bertanya khabar kepadanya.
“Kisah ini telah saya khabarkan kepada anak cucu bahawa nenek mereka ini dikenali Permaisuri Agong dan berpeluang bermesra,” ujarnya sambil berharap seni Keringkam terus dipelihara agar warisan itu tidak lenyap ditelan zaman.