KUALA LUMPUR: Panasonic Malaysia tampil memperkenalkan dua model rangkaian penulen air terbaharu, menjamin pengguna menikmati air bersih dan segar sepanjang masa.
Dua penulen air berkenaan masing-masing jenis pemasangan di bawah sinki, siri TK-CB430-ZMA, dan pili, siri TK-CJ600 dan TK-CJ300.
Penulen air jenis bawah sinki siri TK-CB430-ZMA berharga RM2,199, manakala jenis pili siri TK-CJ600 dan TK-CJ300 masing-masing berharga RM579 dan RM419.
Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Keisuke Nishida, berkata model terbaharu itu inovasi dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) menggesa air bersih dan sanitasi untuk semua.
“Sebagai jenama pengguna yang mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan, kami di Panasonic tidak mungkin terlepas daripada mencipta penyelesaian inovatif air yang menapis bahan berbahaya dan bersifat mampan untuk pengguna.
“Dengan rangkaian Penulen Air Panasonic yang terbaharu, pengguna tidak perlu gusar kerana keluarga mereka dijamin menikmati air bersih dan segar setiap masa,” katanya.
Katanya, kepentingan reka bentuk dan fungsi jenis penulen pemasangan di bawah sinki, TK-CB430-ZMA menggunakan kuasa tiga bateri alkali AAA itu bertujuan membolehkan pemasangan kemas di dapur dan terlindung daripada pandangan umum.
“Rekaan tanpa tangki membolehkan air tulen dan segar mengalir terus ke pili.
“Ia dilengkapi sistem penulenan 3-kartrij yang terdiri daripada kartrij polipropilena tiup cair (PP), kartrij ultra penapisan (UF) dan kartrij blok karbon mampat diaktifkan (CB),” katanya.
Bagi jenis pili pula, Panasonic telah membangunkan rangkaian penulen air yang tahan lama dan sangat berkesan untuk menyingkirkan bendasing.
“Penulen Air Pili Panasonic siri TK-CJ600 dan TK-CJ300, dilengkapi kartrij MicroClear4000 yang mengandungi 1.7 kali ganda karbon diaktifkan prestasi tinggi, penambahbaikan daripada model lalu dan berupaya menulenkan sehingga 4,000 liter air pili.
“Ini membolehkan penggunaan kuantiti air yang lebih besar, mengurangkan kekerapan menukar kartrij dan paling utama, mengelakkan keperluan membeli 4,000 unit botol plastik 1 liter setiap tahun sekali gus menjimat perbelanjaan serta dapat memelihara alam sekitar,” katanya.
Katanya, ia kini boleh didapati di semua pengedar Panasonic yang sah dan platform jualan dalam talian.
Terdahulu, rangkaian penulen air baharu diperkenalkan oleh Pengurus Besar Bahagian Perniagaan Kecantikan dan Penjagaan Diri Panasonic Corporation, Hiroshi Kawaguchi.
Turut hadir, Pengurus Pemasaran Bahagian e-dagang, Kecantikan dan Kesihatan Panasonic Malaysia, Janice Tan Shin Yin; dan Pengurus Besar Bahagian e-dagang Panasonic Malaysia, Chew Keng Heng.