AMPANG: Ramai yang telah menjadi mangsa pendakwaan terpilih atau dalam bahasa awam pertuduhan yang tiada asas tetapi didakwa juga kerana arahan politik.
Tujuan pendakwaan terpilih ini untuk menjatuhkan reputasi seseorang demi kepentingan pihak berkepentingan.
Peguam Mohd Hafizuddin Khan Norkhan berkata, ramai yang menjadi mangsa pendakwaan politik bukan sahaja orang politik, malah NGO, petugas media dan orang ramai.
“Melalui proses didakwa, dilokap, dibicara turun naik mahkamah selepas bertahun-bertahun sebelum diputuskan tiada prima facie lalu dibuang kes itu sebenarnya membuang masa mahkamah dan membazir duit rakyat.
“Ia membuang masa rakyat yang sepatutnya menyumbang bakti untuk negara tetapi terpaksa turun naik ke mahkamah bertahun-tahun.
“Yang akhirnya kes itu dibuang kerana tiada asas atau prima facie. Rakyat sudah bijak menilai, tahu siapa yang berjasa dan siapa yang memporak peranda sebelum seseorang dijatuhkan hukum sudah tahu salah atau tidak, wajar atau tidak.
“Apabila isu-isu pendakwaan politik ini berlangsung ia mendatangkan cemuhan dan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap sistem undang-undang,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Beliau mewakili Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos turut menyifatkan Jamal antara mangsa politik, pendakwaan terpilih dan dianiaya.
Meskipun beliau dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam daripada dua pertuduhan memuat naik video dengan kenyataan jelik di laman Facebook, dua tahun lalu, kes berkenaan didapati banyak kelompongan daripada sudut pendakwaan.
Tambah peguam itu, mengambil contoh kes Jamal, mahkamah telah mendapati bahawa kes itu tidak ada prima facie dan melepas dan membebaskan beliau.
“Jadi saya percaya, pertuduhan itu adalah pertuduhan tidak sesuai dan bersifat politik.
“Dikatakan dua pertuduhan ini ada kenyataan jelik, keduanya saya rasa ia seolah-olah tuduhan bersifat politik, bukan sahaja tanggapan tetapi ianya benar.
“Kes-kes bersifat pendakwaan politik amat lemah dan banyak kelompongan,” katanya.
Mengulas lanjut, tugas sebagai pendakwa awam juga mesti dipisahkan daripada peguam negara bagi mengelakkan salah guna kuasa dan amalan balas dendam politik berterusan.
Ia berikutan, dakwanya, pendakwaan itu diteruskan ketika pentadbiran diterajui AG ketika itu iaitu Tan Sri Tommy Thomas.
“Tugas pendakwa raya untuk meneliti kertas siasatan daripada pihak polis. Itu adalah proses, sekiranya lengkap bukan bermaksud dalam diari siasatan tetapi bersama elemen munasabah untuk dipertuduhkan.
“Jadi,selagi tidak lengkap maka AG (Peguam Negara) perlu kembalikan kertas siasatan kepada polis semula untuk dilengkapkan, jadi tak adalah bila datang mahkamah, banyak kelompongan kes dan keterangan,” katanya.
Katanya, kelompongan itu juga memberi kesan pembaziran wang rakyat, kos mahkamah, tenaga dan masa tertuduh.