SETIA ALAM: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menyifatkan Kejohanan Piala Budak Kampung 2022 sebagai platform tepat bagi ‘otai’ bola sepak negara mengintai peluang memburu generasi pelapis berbakat.
Kejohanan Piala Budak Kampung 2022 adalah anjuran kerajaan negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, bertempat di Eco Ardence Football Arena, di sini, pada 27 dan 28 Ogos 2022.
Dua kategori dipertandingkan iaitu bola sepak tujuh sebelah bawah 17 tahun dan bola jaring tiga lawan tiga terbuka membabitkan penyertaan 100 pasukan dari sembilan daerah negeri itu.
Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, beliau yakin platform kejohanan seperti itu mampu menyatukan bekas-bekas atlet negara dengan pelapis baharu, untuk dicurahkan ilmu kepada yang mempunyai minat mendalam dalam bidang sukan terutama bola sepak.
“Kita yakin, platform kejohanan ini boleh bawa bekas atlet ke mainstream (kembali) semula sama ada yang pernah melatih Team negeri atau kebangsaan, yg kini tiada jawatan, kita nak beri jawatan yang mereka minat.
“Contoh bola sepak, mother of a game. Sebab saya rasa, ramai bekas atlet mereka ada ilmu, bakat untuk melatih belia kita.
“Jadi, otai-otai inilah akan beri semangat, dan bola sepak akan kembali berkembang jika mereka mencurah semula jasa kepada belia,” katanya.
Beliau yang juga bekas atlet olahraga negara itu berkata demikian pada kejohanan hari akhir, di sini.
Bagi bekas pemain skuad bola sepak negara, Azman Adnan, mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana berjaya mewujudkan program sebegini khususnya dalam pencarian bakat atlet.
“Apa yang saya lihat, ia memberi peluang kepada anak muda berbakat, menunjukkan bakat mereka seterusnya menjadi pemain bola sepak tanah air terutama untuk pasukan Selangor,” katanya.
Bekas penyerang kebangsaan itu juga memberitahu, pihaknya berhasrat untuk membimbing atlet remaja untuk menjadi pemain bola sepak profesional dan berjaya dengan bantuan jurulatih terbaik.
“Buat masa ini, kita ada 10 otai skuad bola sepak negara, antaranya Shahrin Majid, Malek Rahman, Asrof Hanafiah, Nizaruddin Yusof, selain bekas penjaga gol negara, Azizon Abd Kadir.
“Bukan kerja mudah untuk mengumpulkan mereka sebab masing-masing ada komitmen, tetapi kerana semangat sukan bola sepak, nak majukan pasukan Selangor, jadi mereka turun padang luangkan masa untuk membimbing pemain muda,” katanya.
Terdahulu, EXCO Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman turut hadir meluangkan masa kira-kira 15 minit bermain bola sepak bersama pemain.