HomeBeritaPM ambil kira semua pertimbangan sebelum bubarkan Parlimen

PM ambil kira semua pertimbangan sebelum bubarkan Parlimen

SEREMBAN: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mempertimbang pelbagai aspek sebelum membuat keputusan membubarkan Parlimen.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan tiba pada waktunya yang sesuai sebaik sahaja Perdana Menteri selesai membuat pertimbangan.

“Ia termasuk soal kestabilan dan usaha pemulihan ekonomi negara untuk membantu meringankan beban rakyat.

“Dalam apa keadaan pun, bila kita hendak buat sesuatu keputusan itu perlu mengambil kira pelbagai aspek,” katanya.

“Begitu juga dalam soal PRU15 ini, saya fikir Perdana Menteri sudah tentu akan mengambil kira pelbagai faktor atau aspek tertentu sebelum membuat keputusan untuk umumkan tarikh pilihan raya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Sembilan di Pusat Konvensyen Casa Lagenda, Paroi, di sini.

Media sebelum ini melaporkan Ismail Sabri enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai spekulasi tarikh PRU15 yang didakwa diawalkan susulan perbincangan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Sabtu lalu.

Sebaliknya, Ismail Sabri meminta semua pihak supaya menunggu tarikh pengumuman PRU15 nanti.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, seramai 387 orang dilantik sebagai Pengerusi JPKKP Negeri Sembilan bagi sesi berkuat kuasa 1 Oktober 2021 hingga 30 September 2023.

Ia termasuk lantikan Setiausaha (385 orang) dan Ahli Jawatankuasa (4,001 orang).

Katanya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan hampir RM7 juta bagi bayaran elaun Pengerusi, Setiausaha dan Ahli Jawatankuasa JPKKP Negeri Sembilan tahun ini.

Majlis penyerahan watikah pelantikan hari ini turut dihadiri Menteri Kesihatan yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sembilan, Khairy Jamaluddin; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Author

Pilihan Editor