KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) dijangka bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri esok bagi membincangkan terma perjanjian kerajaan dengan gabungan itu.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu, beliau akan bertemu Ismail Sabri mengenai perkara itu.
“Insya-Allah, saya akan bertemu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, esok hari,” jawabnya ketika ditanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Menentang Pemerdagangan Orang 2022, di sini, hari ini.
Untuk rekod, Hamzah dalam satu kenyataan berkata PN kecewa dengan Perdana Menteri dan akan menghantar delegasi menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma perjanjian terbabit dalam masa yang terdekat.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan terma penting yang dimaksudkan.
Dipercayai, antara terma perjanjian itu adalah isu pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).
PN pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), 27 Julai lalu, melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri yang dilihat tidak memenuhi terma perjanjian kerajaan campuran itu.
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN itu dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU dan dihadiri presiden semua parti komponen PN, iaitu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Selain itu, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau dan ahli-ahli MT gabungan berkenaan.
Pada 2 Julai lalu, Muhyiddin mengesahkan bertemu Ismail Sabri bagi membincangkan lantikan jawatan baharu, termasuk jawatan TPM, selain beberapa perkara penting berlandaskan kandungan perjanjian antara PN dan Perdana Menteri.
Sementara itu ditanya mengenai desas-desus Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin hampir, Hamzah berkata, bagi beliau sebagai ahli politik, tempoh setahun itu adalah dekat.
“Satu penggal lima tahun dan tinggal setahun lagi, jadi tempoh itu sangat dekat untuk PRU15,” katanya.