KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya, mana-mana pihak dapat membantu mempopularkan liga sukan universiti atau sukan institusi pengajian tinggi (IPT) ke peringkat nasional dan serantau.
Ini kerana, sukan IPT dilihat sebagai peluang untuk anak muda memperagakan bakat dalam penyertaan liga sekali gus membawa kebolehan mereka ke peringkat lebih tinggi.
Mengambil contoh liga sukan kolej yang amat berjaya di Amerika Syarikat dan banyak negara lain, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata sukan liga banyak menjadi tempat mencungkil bakat dalam bidang itu.
“Ini membuktikan bahawa sukan dan pendidikan dapat bergerak seiring.
“Pada tahun ini, Malaysia telah mendapat tempat kedua keseluruhan dengan 49 emas, 83 perak dan 50 pingat gangsa, selepas Thailand.
“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan buat seluruh kontinjen Malaysia yang telah berjuang sehabis daya di Thailand.
“Ini juga penting kerana sukan adalah antara instrumen perpaduan yang ampuh, yang tidak pernah gagal untuk menyatukan kita sebagai #KeluargaMalaysia,” katanya.
Terdahulu, beliau berkesempatan meraikan pasukan sukan International Islamic University Malaysia (IIUM) MUSTANGS yang berentap di Sukan IPT 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan ASEAN University Games 2022 Ubon Ratchathani, Thailand.
Katanya, atlet muda sebelum ini turut berentap di Sukan SEA Hanoi 2022 (12-23 Mei 2022) dan Sukan Komanwel Birmingham 2022 (28 Julai-8 Ogos 2022).
“ASEAN University Sports Council – AUSC ditubuhkan pada tahun 1980 untuk memberikan peluang untuk atlet-mahasiswa untuk meneroka dan memperagakan bakat masing-masing dalam bidang sukan.
“Sejak tahun 2010, Sekretariat AUSC yang kekal telah ditetapkan di Kuala Lumpur dengan sokongan penuh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Sukan Universiti ASEAN dianjurkan setiap dua tahun bagi tujuan ini,” katanya.