HomeBeritaProjek naik taraf capaian Internet Fasa 1 KEMAS, hujung tahun

Projek naik taraf capaian Internet Fasa 1 KEMAS, hujung tahun

SERDANG: Projek menaik taraf capaian Internet di premis Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan diteruskan, bermula hujung tahun ini.

Pelaksanaannya meliputi projek Fasa 1 yang membabitkan 11,000 premis Tabika KEMAS.

Justeru, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengadakan sesi libat urus dengan MOF bagi membincangkan mengenai peruntukan dan kaedah pelaksanaan projek berkenaan lebih teliti, bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya ketika ini sedang menunggu jumlah peruntukan yang akan diluluskan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

“Keperluan untuk menyediakan kemudahan Internet terutama bagi tabika yang terletak di pedalaman adalah usaha untuk memastikan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika KEMAS berjalan lancar.

“Ia seterusnya menjadi aspirasi kepada pembangunan bakat kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penutup Ekspo Buku Malaysia dan Anugerah Buku Negara 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Pada Mei lalu, Mahdzir dilaporkan berkata KPLB akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi memastikan capaian Internet di premis Tabika KEMAS di seluruh negara lebih baik.

Beliau juga dilaporkan, telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berhubung projek meningkatkan capaian Internet di semua premis Tabika KEMAS berkenaan.

Author

Pilihan Editor