HomeBeritaPuluhan ribu ahli UMNO berhimpun, anak Najib bakal berucap

Puluhan ribu ahli UMNO berhimpun, anak Najib bakal berucap

KUALA LUMPUR: Puluhan ribu ahli UMNO mula memenuhi Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk mendengar taklimat Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak jam 2 petang ini.

Anak kepada Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa dan Datuk Mohd Nizar serta peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, antara yang akan berucap pada majlis Taklimat Khas Presiden UMNO, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, ketika menyampaikan taklimat ringkas di hadapan ahli parti.

Majlis taklimat itu dihadiri semua Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kecuali Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Turut hadir ialah isteri kepada Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mesyuarat Biro Politik UMNO sebelum ini antara lain menetapkan fokus topik penting yang akan disentuh pada sesi Taklimat Khas Presiden itu.

Antaranya, kesiapsiagaan yang diperlukan untuk UMNO mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serta penjelasan lanjut susulan keputusan Mahkamah Persekutuan, yang mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos lalu, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Puluhan media yang berhimpun di hadapan dewan itu masih tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam bagi mendengar taklimat berkenaan.

Beberapa sepanduk yang mendoakan kesejahteraan Najib turut dipasang dan terdapat tabung disediakan untuk ahli menyampaikan sendiri nukilan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Author

Pilihan Editor