OLEH: FATTAH RAZZAQ
KUALA LUMPUR: Solehah Trading, pengeluar produk mi tarik segera jenama Makemi menyasarkan jualan sebanyak 20,000 karton sebulan sepanjang tahun ini.
Pengasasnya, Sarah Ahmad Nafiah berkata, keyakinan itu syarikat Bumiputera itu atas faktor kandungan utama bahan produk tersebut yang unik di mana menggunakan perahan jus saffron iaitu sejenis bunga dalam adunan tepung tanpa menggunakan bahan kimia.
Beliau berkata, ketika ini pihaknya telah menjual keseluruhan hampir 10,000 karton produk itu sejak berada di pasaran sejak Oktober tahun lalu.
“Peminat mi tarik segera kini boleh memilih tiga menu jenama Makemi iaitu Sup Ayam Kicap, Kari Santan Asli dan Tomyam Kelapa.
“Apa yang menarik, perisa ayam adalah asli di mana tidak menggunakan serbuk ayam manakala penggunaan santan pula adalah asli dan bukannya krimer.
“Selain jus saffron, mi Makemi juga menggunakan tepung tanpa asid peluntur dan bahan awet asid borik selain perencahnya tiada bahan kandungan aditif monosodium glutamate (MSG),” katanya yang menggunakan modal sendiri untuk memulakan perniagaannya itu.
Solehah Trading memulakan perniagaan dalam talian dari rumah dengan memperkenalkan makanan sunnah bermula pada 2013 dan sehingga kini, setiap produk yang dijalankan sentiasa berasaskan makanan sunnah.
Produk makanan tambahan iaitu vitamin Gummy Buah-Buahan ISQ dengan formula tujuh makanan sunnah adalah produk pertama keluaran syarikat itu.
Mengulas lanjut, Sarah memberitahu, pihaknya turut merancang untuk menambah rakan niaga terutama di kalangan suri rumah untuk menjana pendapatan tambahan bersama Solehah Trading.
Tambah beliau, golongan itu perlu merebut peluang kerana mi tarik segera Makemi merupakan produk makanan yang mampu menjaga kesihatan pengguna pada jangka panjang.
Malah ujarnya, Solehah Trading juga ingin memberi manfaat kepada orang ramai untuk menjadi pengguna yang bijak.
“Kami mahu menawarkan produk yang bukan sedap semata-mata tetapi yang penting sihat dan pantas pula dihidangkan.
“Pada masa sama, bagi golongan suri rumah mereka menambah pendapatan sambal membeli mi tarik segera sebagai antara menu yang disediakan untuk sesi keluarga,” katanya.
Sarah turut berkongsi pengalamannya dalam bisnes apabila berdepan cabaran yang dihadapi sejak pandemik COVID-19 dua tahun lalu. Jelas beliau, pihak berdepan kekangan dalam mempromosikan jualan secara fizikal akibat pergerakan yang terhad sepanjang tempoh itu.
Namun tegasnya, beliau menaruh keyakinan tinggi dengan produk makanan adalah satu keperluan harian dan mempunyai pasaran luas di negara ini.
“Dalam bisnes ini, kita perlu konsisten dan meneruskan usaha tanpa putus asa dan sentiasa bersedia untuk menambah ilmu perniagaan dan agama dan perniagaan.
“Pada masa sama, saling membantu dan mengeratkan persaudaraan sesama rakan niaga juga penting dalam mengekalkan momentum dan semangat untuk melangkah ke hadapan,” katanya.
Mi tarik segera Makemi dijual pada harga RM14 sekotak untuk tiga kali hidangan dan orang ramai yang ingin mencubanya boleh membeli secara dalam talian di Instagram @meesaffron_official.
Jumlah rakan niaga atau ejennya ketika ini adalah seramai 20 orang, dan beliau menyasar peningkatan hingga 200 orang hingga akhir tahun 2022 hasil promosi yang agresif sepanjang tahun ini.