KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau bertanggungjawab membawa ahli UMNO yang setia untuk terus berjuang mempertahankan parti keramat itu.
Sebaliknya, mantan Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau bukan membawa mereka yang cuba menguburkan UMNO.
Justeru, beliau konsisten untuk Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) diadakan segera kerana membawa suara ahli parti, selain menghormati mandat rakyat.
“Hakikatnya, saya membawa suara ahli UMNO yang setia, bukan suara sumbang yang ingin menguburkan UMNO.
“Kita konsisten dan istiqamah menuntut (PRU15) kerana kita menghormati mandat rakyat, kita mahu kerajaan yang mempunyai keabsahan rakyat, bukan melalui percaturan politik.
“Garis masa itu adalah ketika Pakatan Harapan (PH) dibubarkan,” katanya dalam Taklimat Khas Presiden UMNO, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Katanya, semua pihak tidak terkecuali mahu pilihan raya diadakan dan UMNO/BN mahu memulangkan mandat itu kepada rakyat.
“Kita konsisten sejak dari awal lagi lagi. Ini bukan keputusan Zahid Hamidi atau Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan).
“Ini suara dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi, Perhimpunan Agung UMNO dan Perhimpunan Agung Khas UMNO. Realiti sebenar adalah fakta menunjukkan senario politik yang terumbang-ambing meletakkan ekonomi negara kini dalam keadaan kian meruncing,” katanya.
Beliau turut mengulangi penegasan bahawa masih percaya sistem perundangan tidak memihak kepada mana-mana individu.
Oleh sebab itu, beliau tidak takut kepada hukuman bagi kes rasuah yang dihadapinya.
“Buat ahli UMNO dan sekalian pemerhati, ingin saya tegaskan sesiapa yang memomokkan bahawa saya takut atau gentar akan disabitkan kesalahan (oleh mahkamah), saya yakin orang itulah sebenarnya yang takut dengan hamba Allah bernama Ahmad Zahid Hamidi.
“Dialah yang sebenarnya tidak yakin kepada diri sendiri dan takut dengan bayang-bayang,” katanya.
Ahmad Zahid menghadapi 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Menegaskan beliau akan tetap melawan dan terus berdiri mengetuai UMNO walaupun diperangi dari segenap penjuru, Ahmad Zahid mengajak ahli parti, sama ada yang berada dalam kerajaan atau luar, supaya menjadi sebuah keluarga besar.
“Jangan ada kluster, kita hanya ada satu kluster sahaja, iaitu kluster UMNO. Cubit paha kiri paha kanan terasa,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menghadiri taklimat khas berkenaan kerana dikatakan beliau yang juga Naib Presiden UMNO berada di Bera, Pahang bagi menghadiri program yang dijadualkan.
Bagaimanapun, agak aneh, bukan sahaja Perdana Menteri yang juga Naib Presiden parti itu tidak hadir ke taklimat khas Presiden tetapi tidak membuat sebarang ucapan dalam meskipun melalui platform media sosial.