Oleh: FATTAH RAZZAQ
KUALA LUMPUR: Seorang doktor di Hospital Putrajaya menasihati Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor agar berhenti mempromosi produk suplemen kepada pasakit buat pinggang.
Nasihat oleh Pakar Perunding Perubatan & Nefrologi, Dr Rafidah Abdullah dibuat menerusi satu surat terbuka kepada Sheikh Muszaphar di Facebook miliknya.
Jelas Dr Rafidah, produk yang dipromosi itu tidak mempunyai kajian sains yang membuktikan ia membantu kesihatan.
Berikut adalah kandungan dalam surat terbuka beliau.
Surat terbuka kepada founder dan penjual produk kesihatan ini:
Salam
Kepada Dato Sheikh Muszaphar dan pasukan yang saya hormati,
Saya menerima mesej dari rakan seperjuangan dari utara. Ada jurujual yang mengesyorkan produk ini kepada pesakit; katanya ianya selamat untuk pesakit kronik buah pinggang.
Ya, dalam mana-mana iklan tidak ada menyebut buah pinggang tapi boleh lihat kan, bagaimana pesakit-pesakit kronik boleh tertipu.
My hope is you and your team make sure ALL of the sellers stop offering this to my patients.
Jadi, dengan kepakaran yang saya punyai, ingin saya mengingatkan masyarakat Malaysia bahawa:
1. Produk ini TIADA kajian sains yang ianya membantu kesihatan.
2. Jika berpenyakit kronik, jangan ambil. Terutamanya jika ada penyakit buah pinggang, memang disarankan jauhkan apa jenis produk sekalipun.
Jangan terpedaya ya.
Rafidah Abdullah.
Pakar Perunding Perubatan & Nefrologi.
Sementara itu, Dr Rafidah sebelum ini pernah tampil menegur penyanyi dan pengarah, Mawi berhubung iklan promosi produk kesihatan.
Rafidah, menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya berkata, tindakan Mawi atau nama penuhnya Asmawi Ani yang mendakwa ada ahli keluarganya telah merasai perubahahan selepas meminum jus berkenaan adalah salah di sisi undang-undang.
“Salam Mawi, kenapa perlu menipu pesakit-pesakit kronik saya? Perbuatan ini sudah salah dari segi Akta Iklan dan Ubat 1956.
“Tak payah nak cerita tentang kenyataan yang menipu dan menunggang agama!” tegasnya.
Beliau juga membuat tindakan sama ke atas pendakwah bebas, Ustaz Hanafi yang mempromosi produk kesihatan yang didakwa boleh menyembuhkan tiga penyakit.
Dr Rafidah berkata, produk kesihatan yang dipromosikan oleh pendakwah itu tidak boleh menyembuhkan penyakit seperti yang didakwa.